10 Cadangan Tambah Baik Prosedur Perumahan Negeri Johor

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Md Jais Sarday.

ISKANDAR PUTERI, 15 Mei – Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Md Jais Sarday, membentangkan 10 cadangan Jawatankuasa Khas yang ditubuh bagi mengkaji semula pelaksanaan prosedur Perumahan Negeri Johor, khususnya untuk Pelepasan Kuota Unit Bumiputera.

Beliau menjelaskan dua objektif utama penubuhan jawatankuasa itu semasa sesi penggulungan persidangan Dewan Negeri Johor ke-13 di Kota Iskandar, semalam.

“Pertama, mengenal pasti isu-isu dan kelemahan berkaitan Pengurusan Perumahan Bumiputera di negeri Johor.

“Kedua, mengumpul cadangan yang munasabah untuk dijadikan penambahbaikan prosedur pengurusan perumahan bumiputera yang sedia ada serta dijadikan panduan polisi baru untuk Unit Bumiputera di Pejabat SUK Perumahan,” jelasnya.

Cadangan penambahbaikan dari segi pelepasan lot bumiputera yang telah dibentangkan oleh Md Jais adalah seperti berikut:-

1. Tempoh permohonan pelepasan oleh pemaju mestilah 12 bulan daripada tarikh duti setem perjanjian tambahan antara pemaju dan Kerajaan Negeri.
(Dasar sebelum ini: Sembilan bulan dari tarikh permit jualan atau tarikh perjanjian ditandatangani)

2. Permohonan pelepasan hanya boleh dibuat setelah kemajuan fizikal di tapak projek mencapai 70% siap.
(Dasar sebelum ini: kemajuan projek 50%)

3. Garis panduan iklan di akhbar adalah seperti berikut :
A) Ukuran iklan 5 inci x 5 inci
B)Jenis tulisan (nyatakan dengan terang Unit Bumiputera)
C) Jumlah Unit Bumiputera dan harga minimum jualan perlulah jelas
D) Tarikh iklan adalah terkini (sebelum permohonan pelepasan)
(Dasar sebelum ini: iklan dibuat ikut kehendak pemaju)

4. Mengiklankan di Portal Hartanah di Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor Bahagian Perumahan dalam tempoh 9 bulan sebelum permohonan pelepasan.
(Dasar sebelum ini: Tiada dalam dasar sekarang)

5. Permohonan pelepasan kali kedua hendaklah dibuat dalam tempoh enam bulan daripada tarikh kelulusan pelepasan pertama.
(Dasar sebelum ini: dalam tempoh tiga bulan dari kelulusan pertama)

6. Mengadakan pengkelasan harga sebagai syarat kelulusan untuk pelepasan:
A) RM0 – RM250 ribu : Tiada pelepasan
B) RM251 ribu – RM500 ribu : Hanya 30% daripada seluruh Unit Bumiputera boleh dilepaskan
C) RM501 ribu – RM1 juta : Hanya 50% daripada seluruh Unit Bumiputera boleh dilepaskan
D) RM1 juta ke atas : Hanya 70% daripada seluruh Unit Bumiputera boleh dilepaskan
(Dasar sebelum ini: tiada pengkelasan harga bagi pelepasan sekarang)

7. Bukan Unit Bumiputera (Lot Awam) perlulah dijual terlebih dahulu sebelum permohonan pelepasan Unit Bumiputera dibuat.
(Dasar sebelum ini: Tiada dalam dasar sekarang)

8. Setiap permohonan pelepasan akan dibawa kepada mesyuarat Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk diperakukan. Setiap perakuan akan dimaklumkan ke dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan. Surat pemberitahuan makluman kepada pemaju bagi kelulusan pelepasan akan dikeluarkan setelah keputusan mesyuarat diperolehi.
(Dasar sebelum ini: Hanya perakuan di peringkat Jawatankuasa Majlis Mesyuarat Kerajaan sahaja)

9. Bagi permohonan pelepasan yang tidak cukup syarat, permohonan akan ditolak di peringkat SUK Perumahan.
(Dasar sebelum ini: Tiada dalam dasar sekarang)

10. Bayaran sumbangan pelepasan Lot Bumiputera ditetapkan pada kadar 7.5% tanpa sebarang diskaun.
(Dasar sebelum ini: Ada pertimbangan bayaran diskaun)

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial