11 TKPM Sokong Bekalan Makanan Negara

TKPM Lepau

Kerjasama Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri diperluaskan

Oleh Sofiayana Ellmy Sukor

PERTANIAN dan industri asas tani merupakan antara sektor yang dilihat mampu mengembangkan lagi ekonomi Johor. Bagi tujuan itu, pelbagai usaha dilakukan Kerajaan Negeri melalui jabatan dan agensi berkaitan untuk membangunkan kedua-dua sektor itu.

Antaranya, mewujudkan program Tanaman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) yang dibangunkan Jabatan Pertanian bagi menjamin kelestarian kawasan pertanian dan bekalan makanan yang berterusan kepada pengguna.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Ismail Mohamed berkata, kewujudan TKPM adalah usahasama erat Kerajaan Pusat dengan Kerajaan Negeri.

“Kerajaan Pusat akan menyediakan pembiayaan kewangan terhadap keperluan pembangunan kemudahan dan infrastruktur dalam kawasan TKPM manakala Kerajaan Negeri menyediakan kawasan sesuai untuk dibangunkan dengan tanah berkepentingan mengikut keperluan semasa,” katanya.

Tujuan utama projek TKPM ialah:

• Mewujudkan zon kekal bagi pengeluaran tanaman makanan.

• Menggalakkan penglibatan usahawan dan sektor swasta dalam pengeluaran tanaman

  makanan.

• Meningkatkan dan menyumbang pengeluaran makanan negara yang mencukupi, berkualiti 

  dan mapan dalam konteks mengurangkan defisit imbangan perdagangan.

• Menggalakkan pembangunan rantaian bekalan makanan bersepadu.

• Mensasarkan pendapatan bersih peserta kepada sekurang-kurangnya RM3,000 sebulan.

Menurut Ismail, pembangunan fizikal kawasan TKPM memerlukan perancangan teliti bagi memenuhi keperluan aktiviti perladangan seperti jalan ladang, sistem pengairan dan saliran, bangunan serta kemudahan pemasaran dan tempat tinggal usahawan terlibat.

Bermula 2003 hingga 2011, sebanyak tujuh projek TKPM telah ditubuhkan dengan keluasan 284.8 hektar manakala bermula 2012, empat lagi kawasan TKPM baharu dibuka dengan keluasan 1,093 hektar.

Kerajaan Negeri Johor sentiasa menyokong sektor pertanian di negeri ini memandangkan Johor merupakan antara penyumbang terbesar sektor makanan negara. Justeru, program meningkatkan pengeluaran daging lembu berskala besar dipergiatkan, melalui ladang satelit dengan penglibatan seramai 21 peserta dengan peruntukan RM3 juta.  Selain itu, RM2 juta  diperuntukkan bagi membantu pengusaha tanaman nanas yang mempunyai keluasan kurang daripada 6 hektar untuk membantu meningkatkan pengeluaran mereka.

infographic

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial