1,216 Kumpulan SRT, SRS perkukuh kawalan komuniti

IMG_0044resizewpi1resize

Pemerkasaan dua skim kawalan itu selaras dengan Pelan Suara Hati Johor

Oleh Sofiayana Ellmy Sukor

TUGAS menjaga keselamatan dan keamanan bukan hanya dipikul anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM). Sebaliknya, penglibatan masyarakat dan badan bukan kerajaan (NGO) turut dialu-alukan seiring dengan pembangunan pesat Johor ketika ini.

Justeru, penubuhan Skim Rukun Tetangga (SRT) dan Skim Rondaan Sukarela (SRS) antara lain bertujuan memastikan keselamatan penduduk terjamin di samping membantu PDRM membendung kegiatan jenayah dalam komuniti setempat.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan dan Sumber Manusia, Vidyananthan Ramanadhan, berkata peranan dua skim kawalan komuniti ini akan diperhebatkan sekaligus kualiti hidup dan keselamatan masyarakat lebih terjamin.

“Peranan yang dimainkan PDRM amat membanggakan kita dan Johor juga telah berjaya menurunkan kadar indeks jenayah selama 6 tahun berturut-turut.

“Saya percaya dengan memperhebatkan lagi peranan dan tugas SRT serta SRS ini, akan dapat mengurangkan kebergantungan kita kepada PDRM dalam menangani jenayah sekaligus menyedarkan rakyat supaya bersama-sama PDRM dan kerajaan untuk terus membanteras jenayah melalui skim yang sekian lama diwujudkan ini,” katanya.

Pemerkasaan bagi dua skim ini adalah selaras dengan hasil kajian Pelan Suara Hati Johor, di mana satu daripada aspek yang harus diberikan tumpuan ialah aspek keselamatan.

Beliau berkata, peranan Kawasan Rukun Tetangga dalam menjaga keselamatan telah juga diperkasakan apabila SRS diiktiraf dan dipromosi sebagai satu daripada pelaksana utama dalam inisiatif Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) untuk meningkatkan keselamatan dan mencegah jenayah di bawah Transformasi Kerajaan GTP, bekerjasama dengan Polis dan RELA.

“Penyertaan masyarakat dalam SRT dan SRS amat digalakkan. Ini juga memberi peluang mereka untuk melihat dan merasai tanggungjawab yang dimainkan oleh PDRM selama ini terutama dalam membendung jenayah,” katanya.

Vidyananthan berkata, SRT telah melalui fasa transformasi selaras dengan Program Transformasi Rukun Tetangga yang berpaksikan kepada lima teras iaitu perpaduan, ekonomi, keselamatan, pendidikan dan kualiti hidup.

Pada 2014, SRT akan melaksanakan program meliputi:

• Program Skuad Uniti

• Program SeJiwa

• Program Projek Ekonomi Rukun Tetangga

• Program Projek Inovasi Rukun Tetangga

• Program Inovatif Jiran Muda

Selain itu, katanya setiap ahli SRS diberikan pendedahan termasuk kaedah dan maklumat untuk mencegah jenayah selain teknik meronda dengan betul mengikut undang-undang. Di samping itu, mereka dibekalkan dengan peralatan SRS untuk kemudahan meronda seperti walkie-talkie, rotan, wisel dan sebagainya.

Pada 2014, Jabatan Perpaduan Negara telah diamanahkan untuk melaksanakan program yang dianjurkan oleh SRS di seluruh daerah iaitu:

• Program Jom Ronda Versi 3.0

• Program Pendidikan Keselamatan Kejiranan

• Program Pencegahan Jenayah

• Program Kajian “Feel Safe” di kawasan SRS.

Selain memantapkan lagi SRT dan SRS, peranan RELA dalam membantu PDRM Johor ialah menjaga keselamatan di kawasan tertentu seperti perumahan, sekolah, tempat awam dan lain-lain juga diiktiraf oleh kerajaan negeri.

Vidyananthan berkata, walaupun RELA merupakan badan sukarela dan kebanyakan anggotanya mempunyai pekerjaan tetap namun tanggungjawab yang mereka galas harus diberikan perhatian dan pujian.

“Kerajaan negeri akan terus menyokong usaha yang dimainkan oleh RELA dan kita juga berusaha untuk memantapkan lagi peranan dan tugas RELA.

“Keanggotaan RELA yang terdiri dari pelbagai kaum memudahkan badan ini untuk menjalankan peranannya di samping terus membantu PDRM menjaga keselamatan dan keamanan negeri,” katanya.

Sementara itu, bagi mempertingkatkan tahap keselamatan di dalam kawasan Iskandar Malaysia, akan berlaku pertambahan Polis Bantuan berjumlah 1,100 anggota, selain pembinaan sebuah IPD bernilai RM117 juta.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial