13 Lagu Berentap Pada Final Anugerah Lagu Johor 2016

image

 

JOHOR BAHRU, 7 Okt – Sebanyak 13 buah lagu akan berentap pada pertandingan akhir Anugerah Lagu Johor (ALJ) 2016 yang bakal berlangsung esok, di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG).

Tiga belas lagu tersebut merupakan antara lebih 100 penyertaan bagi merebut anugerah itu pada tahun ini, yang melibatkan kategori Kumpulan Band, Muzik Tradisional Kreatif dan Ciptaan Lagu.

Menariknya ALJ bakal menampilkan artis-artis tempatan bagi kategori Ciptaan Lagu, iaitu Natasha Yazer, Hafiz AF, Hazama, Indah Ruhaila dan Ernie Zakri.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan Negeri Johor, Datuk Zulkurnain Kamisan berkata penganjuran ALJ yang memasuki tahun kedua itu adalah bertujuan menanam semangat jati diri dan cintakan negara dalam kalangan masyarakat.

Katanya, penganjuran pada tahun 2014 yang lalu telah mendapat sambutan menggalakkan dan ini menunjukan penerimaan serta minat masyarakat terhadap lagu-lagu patriotik terutama golongan muda semakin meningkat.

“Selain mencungkil bakat dan kreativiti dalam kalangan peserta, menerusi penganjuran ALJ ini juga kita mahu memperkasakan dan menyemarakkan lagu-lagu patriotik secara lebih menyeluruh. Kita juga mahu menghasilkan koleksi lagu-lagu patriotik untuk rakaman album,” katanya.

Jelas beliau, ALJ merupakan idea cetusan Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin yang berpandangan supaya masyarakat terutama golongan muda dapat disemaikan dengan semangat cintakan bangsa dan negara dan salah satunya melalui lagu-lagu patriotik.

Orang ramai berpeluang menyaksikan ALJ 2016 anjuran Kerajaan Negeri Johor menerusi Yayasan Warisan Johor (YWJ) itu di Stadium Tertutup MPPG, pada 8 Oktober, secara percuma bermula 8.30 malam.

Program ini juga buat pertama kalinya akan disiarkan secara langsung menerusi Astro Ria 104, dengan menampilkan pengacara terkenal, Dato AC Mizal.

ALJ 2016 bakal diadili barisan juri profesional iaitu Dato’ Ramli MS, Dato Suhaimi Md Zin (Pak Ngah), Helen Yap, Fauzi Marzuki, Andy Flop Poppy, Aznan Alias dan Sufian Suhaimi.

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial