1,467 CCTV di kawasan Iskandar

a c

 

Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyambut baik usaha Kerajaan Negeri Johor untuk meluaskan lagi pemasangan Kamera Litar Tertutup atau CCTV di Wilayah Pembangunan Iskandar Malaysia. Menurut Ketua Polis Johor, Dato' Mohd Mokhtar Mohd Shariff, usaha murni berkenaan bukan sahaja membantu pihaknya untuk membanteras jenayah di kawasan pembangunan tersebut, tetapi juga dapat mengurangkan kadar jenayah. Mengikut rekod dari PDRM, jenayah yang paling tinggi dilaporkan di kawasan Iskandar ialah kecurian kenderaan.

“Dengan adanya CCTV ini, pihak kami akan dapat menggiatkan lagi usaha untuk menangani masalah kecurian kenderaan ini. Pesalah akan segera ditangkap berdasarkan imej yang dirakamkan dan kami mempunyai bukti kukuh untuk mendakwa mereka,” katanya. Usaha Kerajaan Negeri untuk menambah bilangan CCTV di kawasan Iskandar akan dibantu oleh Pihak Berkuasa Pembangunan Iskandar Malaysia (IRDA). Mengikut rekod IRDA, sebanyak 1,467 CCTV akan dipasang disekitar kawasan Iskandar. Berikut merupakan pecahan mengikut Pihak Berkuasa Tempatan dan Daerah Polis terlibat :

cctv

Walaupun pemasangan CCTV akan ditingkatkan, Mokhtar berkata, PDRM tidak akan mengamalkan sikap lepas tangan terutamanya dalam aspek yang melibatkan keselamatan masyarakat.“Rondaan dan Omnipresence akan ditingkatkan di kawasan-kawasan yang mencatatkan kadar jenayah yang tinggi yang telah berjaya dirakamkan. Namun begitu, kawasan- kawasan lain juga tetap diberikan tumpuan supaya jenayah tidak terus berleluasa,” katanya. Bagi menangani kadar jenayah di Iskandar Malaysia, pihaknya juga telah menempatkan dua orang Polis di bit-bit polis yang didirikan. Kebanyakan pondok bit polis ini diletakkan di lokasi-lokasi terpilih mengikut keperluan, dan kebanyakannya diletakkan di kawasan panas atau hot spot.

“Melalui rakaman CCTV ini, kita akan menilai dan mengkaji untuk menambah bilangan anggota di kawasan panas dan kerap berlaku jenayah di sekitar kawasan Iskandar. “Bit-bit polis yang didirikan akan menempatkan dua orang polis dan mereka ini akan menerima laporan jenayah dari orang awam dan boleh menggerakkan pasukan hadapan seperti peronda MPV, unit rondaan bermotosikal. “Kewujudan pondok bit ini sememangnya telah memberi impak dan kesan positif dalam menurunkan kadar jenayah,” katanya. Dalam usaha membanteras jenayah di kawasan Iskandar Malaysia, PDRM turut menggunakan khidmat Polis Bantuan dan sehingga kini, jumlah keseluruhan Polis Bantuan di Iskandar Malaysia ialah seramai 1,795 orang.

“Polis Bantuan merupakan aset PDRM dalam menjadi mata dan telinga bagi mendapatkan maklumat jenayah dari orang awam dan juga persekitaran tempat tinggal mereka. Dengan adanya khidmat Polis Bantuan, anggota polis PDRM dapat ditugaskan ditempat lain khususnya di kawasan yang mempunyai kadar jenayah tinggi yang berjaya dirakamkan di CCTV yang dipasang,” katanya. Namun begitu, katanya, walaupun jumlah CCTV bakal ditambah, pihaknya menyeru kepada masyarakat untuk terus membantu polis dalam menangani jenayah. Katanya, kedua-dua elemen ini iaitu CCTV dan maklumat dari orang awam amat penting bagi PDRM dalam membanteras jenayah. “Contohnya, CCTV akan merakamkan jenayah apa yang sedang berlaku dan PDRM mempunyai lakaran wajah penjenayah. Pihak Polis akan menghebahkan wajah suspek dan kami memerlukan maklumat dari orang ramai untuk menjejaki penjenayah tersebut,” katanya.

 

 

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial