1,486 Orang Dapat Tawaran Kerja Di Karnival Kerjaya

KOTA ISKANDAR: Kerajaan Negeri terus mempergiatkan usaha menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan belia menerusi penganjuran Karnival dan kembara kerjaya. 

Selaras dengan peranannya selaku penghubung dan pemudahcara kerjaya bagi syarikat-syarikat penyedia peluang pekerjaan, usaha kerajaan sepanjang empat bulan lalu berjaya memberi peluang kerjaya kepada 1,486 orang.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, Dato’ Zulkurnain Kamisan berkata, program-program itu dijalankan di setiap daerah sebagai usaha mendekati para belia yang masih mengganggur.

“Sejumlah 17,175 orang hadir di program-program tersebut dan mereka mendapat pekerjaan secara terus semasa program dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Norshidah Ibrahim (BN-Buluh Kasap) berkenaan usaha Kerajaan Negeri untuk membantu belia yang menganggur pada Persidangan Dewan Negeri ke 13 di sini, hari ini.

Kerajaan Negeri sedar pendedahan warga belia kepada peluang pekerjaan semata-mata tidak memadai. “Ianya perlu diperkasakan melalui penyediaan sumber modal insan yang memenuhi kriteria pihak industri,” tambahnya.

Beliau berkata pelbagai langkah telah diambil bagi menyediakan kursus-kursus berbentuk kemahiran dan latihan kepada kumpulan sasaran ini.

“Ini membabitkan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan serta Jabatan Belia dan Sukan Negeri,” katanya.

Usaha lain termasuklah mewujudkan peluang perniagaan dan bantuan perniagaan secara konsisten menerusi Jabatan Belia dan Sukan Negeri, Pusat Pembangunan Usahawan (EDC), MARA, TEKUN dan Permodalan Usahawan Nasional Berhad (PUNB).

“Belia-belia diberi keutamaan untuk berniaga melalui program Youth Collective, karnival-karnival anjuran Kerajaan Negeri, serta pembangunan Southern Tiger Hub (STH) di setiap kawasan parlimen, dengan penyediaan ruang-ruang perniagaan bagi belia.

“Selain MARA, PUNB dan TEKUN, Perbadanan Islam Johor juga turut menyediakan bantuan kewangan menerusi Program Bantuan Belia Islam Johor,” katanya.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial