16,381 Bilik Hotel Bertaraf Tiga Bintang Ke Atas Ditawar Di Johor Menjelang 2020

image

 

JOHOR BAHRU, 28 Mei — Sebanyak 16,381 bilik hotel bertaraf tiga bintang ke atas dijangka ditawarkan sektor perhotelan di Johor menjelang tahun 2020 sebagai usaha menampung keperluan pelancong yang semakin pesat ke negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Johor, Datuk Tee Siew Kiong berkata penawaran itu sejajar dengan penambahan 14 buah hotel lagi yang bakal menyediakan kira-kira 3,000 bilik dalam tempoh empat tahun ini.

“Mengikut rekod, sehingga tahun lepas, terdapat keseluruhan 164 buah hotel di negeri ini yang menyediakan 13,381 bilik. Untuk makluman juga, masih ramai pengusaha hotel yang berminat untuk melabur di Johor.

“Oleh itu dengan 14 hotel baharu yang sedang dalam rancangan pembinaan di kawasan Iskandar Malaysia sehingga tahun 2020, maka penawaran jumlah bilik dijangka meningkat sehingga 16,381 buah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan hotel bertaraf tiga bintang Hotel V8 yang menawarkan 193 bilik di Taman Nusa Bestari di sini hari ini.

Tee berkata pengwujudan hotel baharu di Johor boleh diibaratkan seperti ‘cendawan tumbuh selepas hujan’ terutama di daerah Johor Baharu yang didorong oleh kepesatan sektor pelancongan di negeri ini.

Beliau berkata berdasarkan Kadar Purata Penginapan oleh Tourism Malaysia, kadar penginapan hotel di negeri ini menunjukkan peningkatan sebanyak 1.9 peratus iaitu daripada 56.6 peratus pada 2014 kepada 58.5 peratus tahun lepas.

Sementara itu, Tee berkata kerajaan Johor komited untuk melakukan kajian dan membangunkan kepulauan Mersing serta Desaru dekat Kota Tinggi supaya kedua-dua pusat pelancongan terbabit mencapai taraf antarabangsa serta menepati citarasa pelancong antarabangsa.

Beliau berkata usaha tersebut dicapai berdasarkan hasil lawatan kerja pelancongan pihaknya ke Phuket dan Krabi di Thailand awal tahun ini serta Maldives pada 22 Mei hingga 26 Mei lalu.

“Sepanjang lawatan, delegasi kerajaan negeri saling bertukar-tukar pandangan mengenai kepesatan industri pelancongan di Maldives di samping mengenal pasti konsep keseluruhan pembangunan Maldives. Kita juga didedahkan mengenai mekanisme penyaluran bekalan sumber air dan elektrik gugusan kepulauan Maldives serta pengurusan sisa pepejal dan sampah sebagai langkah pembangunan secara lestari.

“Maldives yang majoritinya masyarakat beragama Islam juga mempunyai ciri kesamaan dengan masyarakat kita seperti budaya dan adat resam.

“Sehubungan itu dengan hasil lawatan ini, satu jawatankuasa khas ditubuhkan bagi meninjau dan mengkaji hasil lawatan untuk diadaptasikan terhadap pembangunan di kepulauan Mersing dan Desaru,” katanya. – BERNAMA

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial