17,000 Hektar Tanah Terbiar Berpotensi Dibangunkan

bangun tanah terbiarTERRDAPAT lebih 8,000 lot tanah terbiar merangkumi keluasan 17,854.93 hektar telah dikenalpasti di seluruh Johor. Melihat kepada jumlah itu, kerajaan negeri berpendapat tanah berkenaan harus dibangunkan bukan sahaja untuk menjana ekonomi pemiliknya malah  meningkatkan pengeluaran hasil sektor pertanian di negeri ini.

Bagi tujuan itu, kerajaan negeri pada 2014 telah memperuntukan RM1 juta sebagai modal kepada pemilik tanah terbiar ini untuk mengusahakan tanah masing-masing.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Ismail Mohamed berkata, Jabatan Pertanian Negeri Johor telah mengenalpasti pemilik tanah berkenaan dan akan bekerjasama dengan pemilik untuk mengusahakan tanah tersebut mengikut kesesuaian tanaman.

Melalui kaedah pembangunan tanah terbiar ini, kata beliau, ia secara tidak langsung dapat mengukuhkan kedudukan Johor sebagai pengeluar bahan makanan utama negara.

Negeri Johor menduduki tempat pertama dari segi pengeluaran hasil tanaman buah-buahan iaitu 541,033 tan berbanding Malaysia 1,658,332 tan dan menduduki tempat kedua bagi pengeluaran hasil tanaman sayur-sayuran iaitu 136,976 tan berbanding Malaysia iaitu 878,975 tan.

Menurutnya, beberapa program telah dirangka untuk menarik minat pemilik tanah untuk menyertai program ini. Antara program itu ialah Program Pembangunan Tanah Terbiar (PTT) dan Projek Fertigasi.

Program PTT dibahagikan kepada dua kategori iaitu Pembangunan Projek Pertanian dan Meningkatkan Pengeluaran Tanaman Makanan.

“Untuk dua kategori ini, terdapat beberapa syarat ditetapkan untuk pemilik tanah memohon dana atau modal yang disediakan kerajaan. Di samping itu, bantuan yang dihulurkan untuk kedua-dua program ini juga mengambil kira keluasan tanah pemilik,” katanya.

Bagi Projek Fertigasi, Ismail berkata, kerajaan negeri bermula 2014 bercadang untuk menyalurkan bantuan tidak melebihi RM30,000 untuk dilaksanakan di semua daerah di Johor.

Melalui projek ini, Jabatan Pertanian telah mengenal pasti 11 pengusaha yang diyakini boleh  menjadi mentor kepada pengusaha yang baharu menceburi Projek Fertigasi ini.

“Mentor ini akan memberikan nasihat dan tunjuk ajar kepada mentee supaya tanaman mereka menjadi dan memberi pulangan pengeluaran yang tinggi,” katanya.

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial