Johor Lancar PPUHM, Tarik Usahawan Tempatan

PENGERANG, 16 Mac – Kerajaan Negeri hari ini melancarkan Program Pembangunan Usahawan Hiliran Minyak dan Gas (PPUHM) sebagai salah satu usaha untuk memastikan penyertaan secara efektif usahawan-usahawan tempatan di dalam Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC).

Pelancaran program tersebut disempurnakan oleh Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin sempena lawatan kerjanya ke Parlimen Pengerang, di sini hari ini.

Program itu dilaksanakan dengan kerjasama Pusat Pembangunan Usahawan Johor (EDC), Johor Petroleum Development Corporation Berhad (JPDC) dan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS).

Ia mensasarkan penglibatan dua syarikat mentor dan 29 syarikat mentee, serta 15 kluster perniagaan yang melibatkan seramai 150 usahawan.

Malah, ia juga bakal mewujudkan lebih 500 peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan dan dijangka dapat meningkatkan pendapatan isi rumah sebanyak RM5400 sebulan bagi peserta yang mengikuti program tersebut.

Program tersebut terbahagi kepada tiga teras utama iaitu Teras Mentor Mentee, Bina Niaga dan Database serta Latihan, yang memfokuskan peluang-peluang perniagaan dalam bidang teknikal dan bukan teknikal yang terdapat di PIC.

Turut hadir Ahli-ahli Majlis Kerajaan Negeri Johor; Ahli Parlimen Pengerang, Dato’ Sri Azalina Othman Said; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Surat, Datuk Syed Sis Syed A. Rahman dan Pegawai Daerah Kota Tinggi, Dr. Badrul Hisham Kassim.

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial