2 Teras Utama Agenda Melayu Maju Dibahas Dalam Konvensyen UMNO Johor

img_0901

 

JOHOR BAHRU, 10 Nov – Pendidikan berkualiti dan terbaik untuk Melayu dan menjadikan Islam sebagai tunjang kepada Melayu Maju adalah dua teras utama Agenda Melayu Maju yang dibahaskan dalam Konvesyen UMNO Johor 2016.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata, telah tiba masanya pendidikan negara dilaraskan dengan mutu termaju, yang digerakkan oleh kaedah pengajaran dan pembelajaran yang berkualiti antarabangsa.

“Akses pendidikan tanpa kualiti yang baik, sistem pendidikan yang terkebelakang, ia tidak akan menyediakan Malaysia yang berkemajuan. Akses tanpa kualiti, tidak akan menganjak Malaysia menjadi kuasa ekonomi berpengetahuan.

“UMNO mesti memperjuangkan pembaharuan radikal dalam pendidikan di negara ini. Kaedah paling penting untuk menjana kebolehsaingan bangsa Melayu ialah pendidikan terbaik, pendidikan bermutu, pendidikan abad ke 21.

“Kerana itu, hari ini, UMNO Johor akan membahaskan isu pendidikan terbaik dan berkualiti ini dan mencari pencerahan.

“Harapannya, melalui interaksi dengan mereka yang mahir dan pakar dalam hal ini, akan ada beberapa cadangan bernas yang akan UMNO Johor usul dan majukan untuk Perhimpunan Agung UMNO nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Konvensyen UMNO Johor 2016 di sini, hari ini yang dirasmikan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein.

Beliau yang juga Menteri Besar Johor berkata, jalan kedua dalam agenda berkenaan ialah Islam mesti menunjangi kelahiran Melayu Maju itu.

Katanya, Islam perlu menjadi inspirasi untuk orang Melayu menjadi semakin maju, progresif dan berlumba-lumpa ke hadapan.

Jelas beliau, Islam bukan sekadar susunan hukum agama tetapi adalah cara kehidupan paling baik dan syumul.

“Jika orang Melayu itu, yang memang dari lahirnya menjadi Muslim, tetapi gagal melihat Islam sebagai inspirasi untuk menjadi lebih baik, lebih maju dan lebih berdaya saing. Maka, pada mereka Islam itu hanya anutan yang tidak dijiwai.

“Mana mungkin kita akan menemui pencerahan, andai dalam perjalanan ini kita mengenepikan agama yang menjadi cahaya kepada manusia. Marilah kita kembali kepada Islam dalam kita mencari jalan menjadi bangsa berkemajuan.

“Naratif baru yang perlu diketengahkan oleh UMNO ialah bagaimana Islam dan ajarannya boleh membantu melonjakkan Melayu dan Malaysia menjadi sebuah masyarakat terbaik,” katanya.

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial