20 Kilometer Jalan Kampung di Johor Bakal Dinaiktaraf Ke Jalan Negeri

ISKANDAR PUTERI, 5 Sept – Kerajaan Negeri mensasarkan 20 kilometer jalan kampung bakal dinaik taraf ke jalan negeri menjelang tahun 2017.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Negeri Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata daerah Batu Pahat akan menjadi daerah pertama bagi tujuan tersebut.

“Keutamaan bagi kerja-kerja naik taraf itu akan melibatkan jalan-jalan kampung yang merupakan jalan-jalan yang dapat menghubungkan satu daerah ke daerah lain.

“Kerja-kerja naik taraf itu juga dijangka melibatkan kos sebanyak RM15 – RM20 juta,” katanya pada sidang media sempena Majlis Pelancaran Program Aplikasi Jalan Kampung (JKg.J) di Bilik Gerakan Dewan Negeri Johor, Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, petang tadi.

Turut hadir Pengarah Eksekutif Infra Desa Sdn Bhd, Jamilullail Md Sapie.

Terdahulu majlis pelancaran aplikasi tersebut telah dilancarkan oleh Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin.

Sementara itu, Hasni berkata kejayaan kerja-kerja naik taraf tersebut juga adalah kerana faktor peningkatan peruntukan dari Kerajaan Pusat kepada Kerajaan Negeri berhubung kerja-kerja menyelenggara jalan kampung, jalan negeri dan jalan pihak berkuasa tempatan.

“Pada tahun 2013, Kerajaan Pusat telah memperuntukkan sebanyak RM493 juta, manakala tahun 2014 pula adalah sebanyak RM531.23 juta.

“Sebanyak RM543.85 juta pula adalah peruntukan bagi tahun 2015 dan sehingga Ogos 2016 pula adalah sebanyak RM380.7 juta.

Mengulas mengenai Aplikasi JKg.J, ia bakal digunapakai dan terhad kepada setiap wakil rakyat di negeri ini sahaja agar dapat terlibat secara langsung dalam penentuan jalan-jalan untuk diselenggara.

“Aplikasi itu membolehkan setiap wakil rakyat melihat senarai jalan-jalan yang wajar untuk diselenggara dan sekiranya bersetuju atau sebaliknya ia bolehlah dinyatakan secara terus di aplikasi tersebut.

“Aplikasi itu dijangka bakal digunapakai pada Oktober tahun ini dan sistem yang dibangunkan adalah melalui Android dan IOS,” katanya.

Antara agensi yang terlibat bagi aplikasi itu adalah Pejabat Daerah, Pejabat Kewangan Negeri dan Infra Desa Sdn Bhd.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial