200 BEKAS TENTERA PELBAGAI PANGKAT DAN UNIT TERIMA PINGAT JASA MALAYSIA

12401867_1040211835999031_2379490351381601183_o

JOHOR BAHARU – Seramai 200 bekas tentera daripada pelbagai unit di sini dipilih menerima Pingat Jasa Malaysia (PJM) atas pengorbanan dan sumbangan mereka kepada negara.

Yang Dipertua Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Johor Ibrahim Yahaya berkata kesemua bekas tentera pelbagai pangkat yang dipilih termasuk 15 balu dan dua anggota yang menghidap sakit kronik, adalah daripada mereka yang telah berkhidmat antara 1965 dan 1989.

“Hampir kesemua penerima pingat ini berumur lebih 55 tahun dan pernah berkhidmat dalam pelbagai operasi tentera darat, udara dan laut,” katanya ketika ditemui selepas majlis itu, semalam.

Penyampaian pingat itu disempurnakan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM Datuk Mohd Noor Daud.

Turut hadir Pengarah JHEV ATM Johor Mejar Aziz Kasmuri dan Ketua PVATM Cawangan Johor Baharu Mohd Karim Wagiman.

Ibrahim berkata PVATM Johor sehingga kini mempunyai lebih 13,000 ahli dan mahu menambahkan keahlian kerana masih ramai lagi bekas tentera yang belum mendaftar sebagai ahli.

Beliau berkata adalah penting untuk bekas tentera terutamanya mereka yang sudah pencen untuk menjadi ahli PVATM kerana pelbagai faedah dan kemudahan disediakan termasuk sumbangan kutipan Hari Pahlawan, bantuan mengerjakan haji dan hari raya, sumbangan bencana alam, perubatan dan lain-lain.

“Kami juga berharap kerajaan dapat menambah jumlah bantuan yang diperuntukan kepada kami kepada RM200,000 daripada RM100,000 sebelum ini,” kata Ibrahim.

Sementara itu, seorang penerima PJM Kamdani Mohd Asnan, 62, berkata banyak pengalaman pahit dan manis dialaminya sepanjang berkhidmat sebagai Bentara Muda dalam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Antaranya pengalaman yang tidak dapat dilupakan ialah mengawal perairan negara daripada dimasuki pelarian Vietnam sekitar 1976 dan 1977.

“Sedih dan tersentuh hati apabila melihat pelarian dalam keadaan yang begitu daif dan kelaparan terutamanya anak-anak kecil dan wanita yang hanyut dalam bot yang penuh sesak,” kata beliau yang berkhidmat dengan TLDM dari 1971 hingga 1985.

“Tidak kurang juga dengan ancaman berani mati nelayan negara jiran yang sanggup membuang jaring bernilai puluhan ribu ringgit serta merempuh kapal tentera ketika menceroboh perairan negara,” kata bapa kepada lima anak itu yang kini menetap di Kampung Melayu Majidee, dekat sini. – BERNAMA

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial