21 SUSPEK TUMPAS DI TANGAN JBS TIGERS

JOHOR BAHRU – Polis menahan seramai 21 individu yang dipercayai terlibat dalam kes kecurian kenderaan di bandar raya ini sejak 6 hingga 20 September lalu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Sulaiman Salleh berkata, operasi yang dijalankan pasukan khas JBS Tigers melibatkan seorang pegawai dan 12 anggota polis menahan kese­mua individu berusia dalam lingkungan 14 hingga 34 tahun terbabit.

“Empat daripada suspek yang ditahan itu terlibat dalam kes curi kereta antaranya Perodua Myvi, Honda Civic, Proton Perdana, Alfa Romeo GT200 dan Mercedes Benz E200 dengan nilai keseluruhan melebihi RM100,000.

“Semakan rekod mendapati ke­reta tersebut dilaporkan hilang di sekitar Johor Bahru dan Seri Alam. Kumpulan ini dipercayai bergiat ak­tif sejak awal tahun ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Sulaiman, dengan tang­kapan tersebut dapat menyelesaikan lima kes curi kenderaan di bandar raya ini dan Seri Alam.

Ujar beliau, hasil pemeriksaan mendapati seorang suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kes samun berkawan dan dadah sementara sembilan lagi didapati positif dadah jenis methamphetamine.

“Modus operandi kumpulan ter­sebut ialah mencuri kereta model la­ma untuk mengambil alat kompo­nen kereta berkenaan dan dijual secara berasingan.

“Kita percayai masih terdapat sa­ki-baki kumpulan ini yang masih bebas di luar sana dan kita akan te­rus menjalankan siasatan,” katanya sambil memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Ke­sek­saan kerana mencuri kenderaan.- UTUSAN MALAYSIA

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial