30 WARGA KOLEJ KOMUNITI LEDANG TAWAN GUNUNG LEDANG

image

LEDANG – Kira-kira 30 penuntut dan kakitangan Kolej Komuniti Ledang (KKL) berjaya menawan puncak Gunung Ledang baru-baru ini selepas menempuh pelbagai cabaran ketika mendaki.

Segala cabaran untuk menawan puncak Gunung Ledang yang mencecah ketinggian 1,276 meter dari paras laut itu berjaya ditempuhi dengan selamat walaupun terpaksa meredah laluan berbatu, gaung dan terpaksa menggunakan tali.

Pengarah KKL, Jamalluddin Mohd. Ali berkata, program lasak anjuran Jabatan Pembelajaran Sepanjang Hayat dan Unit Sukan KKL edisi ketiga itu bertujuan membina ketahanan, kekuatan fizikal dan mental serta membentuk semangat berpasukan dalam kalangan peserta.

“Program ini merupakan aktiviti berbentuk fizikal untuk mengekalkan kecerdasan badan pada tahap yang optimum dan dapat meningkatkan keyakinan peserta untuk berdepan dengan sebarang cabaran dan rintangan.

“Rata-rata peserta mengambil masa antara lapan hingga 10 jam untuk menamatkan pendakian. Mereka dapat melihat keindahan air terjun serta flora dan fauna sepanjang ekspedisi tersebut,” katanya di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, program itu juga memberi pendedahan kepada peserta tentang teknik pendakian yang betul serta berkesan menerusi teori dan latihan praktikal.

Dalam pada itu seorang peserta, Nor Azida Mansor mengakui gembira kerana dapat menawan puncak gunung tersebut walaupun pertama kali menyertainya.

“Kekuatan fizikal, mental dan semangat yang tinggi diperlukan untuk mendaki. Tunjuk ajar yang diperoleh daripada jurulatih juga telah membantu saya menamatkan aktiviti ini dengan selamat dan ja-yanya,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam KKL, P. Suganthe berkata, program tersebut mendapat sambutan memberangsangkan daripada penuntut dan kakitangan serta pihaknya tidak menolak kemungkinan untuk meneruskan penganjurannya pada masa akan datang. – UTUSAN MALAYSIA

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial