33 Projek Bernilai RM2.357 Bilion Diluluskan Di Pengerang

Mohamed Khaled melihat pelan pembangunan Pengerang Waterfront ketika mengadakan lawatan kerja ke Parlimen Pengerang.

PENGERANG, 17 Mac – Sebanyak 33 projek bernilai RM2.357 bilion telah diluluskan kerajaan bagi pembangunan di kawasan Parlimen Pengerang sejak tahun 2012.

Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata pembangunan projek itu adalah melalui peruntukan bersama Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri.

Menurut beliau, selain projek Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC), ia turut melibatkan pelbagai projek pembangunan baharu yang lain, termasuk infrastuktur dan kemudahan asas.

“Sejak tahun 2012, Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri telahpun bersetuju untuk membangunkan sebanyak 33 projek yang kesemuanya bernilai RM2.357 bilion dalam kawasan Parlimen Pengerang.

“Sebagai contoh, pembinaan jalan-jalan baharu, balai polis baharu, balai bomba, sekolah, tanah perkuburan tersusun untuk orang Melayu dan masyarakat Cina serta banyak lagi,” katanya.

Menurut Mohamed Khaled, ini merupakan pelaburan terbesar bagi tujuan pembangunan di kawasan Parlimen di negeri ini dan semua pihak perlu menghargai sumbangan tersebut.

“Ini satu pelaburan yang besar. Tidak ada mana-mana kawasan Parlimen yang mendapat peruntukan sebegini besar. Tahniah saya ucapkan kepada penduduk Pengerang.

“Dan sudah tentulah penting bagi saya dan Kerajaan Negeri memastikan kita menghargai sumbangan tersebut yang dilaksanakan oleh Kerajaan Pusat samada melalui projek Kompleks Bersepadu Pengerang oleh Petronas atau projek-projek infrastruktur dan kemudahan asas yang lain,” tambahnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis yang diadakan sempena lawatan kerjanya ke Parlimen Pengerang, di Taman Bayu Damai, dekat sini, semalam.

Yang turut hadir Ahli-ahli Majlis Kerajaan Negeri Johor; Ahli Parlimen Pengerang, Dato’ Sri Azalina Othman Said; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Surat, Datuk Syed Sis Syed A. Rahman; ADUN Penawar, Hamimah Mansor dan Pegawai Daerah Kota Tinggi, Dr. Badrul Hisham Kassim.

Pada majlis tersebut, beliau turut mengumumkan projek baharu yang bakal dilaksanakan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Pengerang, antaranya ialah pembinaan Pengerang Waterfront yang melibatkan kos RM120 juta.

Projek tersebut di bawah Pelan Transformasi Dataran Pengerang yang merangkumi tiga fasa pembangunan iaitu Waterfront, Pasar Tani dan Food Truck serta Johor Muafakat Community Park.

Fasa pertama yang melibatkan pembangunan Waterfront akan mula dilaksanakan pada tahun ini dengan kos RM15 juta.

Selain itu, Mohamed Khaled berkata Kerajaan Negeri bersetuju untuk menyalurkan peruntukan berjumlah RM4.8 juta bagi tujuan penyelenggaraan dan pelebaran jalan-jalan kampung serta jalan PBT di dalam kawasan Parlimen Pengerang.

Turut diluluskan pembinaan sebuah masjid baharu di Taman Bayu damai yang melibatkan kos RM5 juta.

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial