42 Views

355 Penduduk Terima Geran Hak Milik Tanah, Notis 5A

img_4107

KULAI, 11 Jan – Seramai 355 penduduk dari tujuh perkampungan dan kawasan pertanian di daerah ini boleh menarik nafas lega selepas 15 tahun penantian untuk memiliki tanah sendiri berakhir apabila kesemua mereka menerima geran hak milik dan notis 5A semalam.

Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata, daripada jumlah itu, seramai 278 penduduk menerima geran manakala baki 77 penduduk menerima notis berkenaan.

Katanya, penerima geran hak milik terdiri daripada masing-masing seramai 91 penduduk dari Fasa 1 dan 2 Kampung Sungai Besoi serta Teck Wah Heng III, empat penduduk Kampung Sri Muar, 28 penduduk Kampung Pengkalan Indah dari Mukim Sedenak dan 68 penduduk Kampung Bukit Ibol dari Mukim Bukit Batu.

“Manakala bagi penerima notis pula katanya, terdiri daripada 33 penduduk Kampung Tang Ho dari Mukim Kulai; 32 penduduk Kampung Jalan Lada Hitam dari Mukim Sedenak serta 12 penduduk Kampung Bukit Batu dari Mukim Batu.

“Hak milik dan notis 5A yang diserahkan kepada kesemua penduduk membabitkan tanah pertanian seluas 390.9 hektar dan tanah tapak kediaman seluas 26,785 meter persegi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan hak milik dan notis 5A di Kampung Murni Jaya sempena lawatan seharinya di parlimen Kulai, di sini semalam.

Katanya, penyerahan hak milik dan notis itu jelas menunjukkan komitmen Kerajaan Negeri untuk menyelesaikan masalah tanah yang dihadapi rakyat.

Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Johor, Azmi Rohani; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai, Ali Mazat Salleh; Pegawai Daerah Kulai, Md. Zainal Misran dan beberapa exco Kerajaan Negeri.

Ali Mazat berkata, kesemua penerima tanah kurnia itu adalah pemohon asal serta waris kepada pemohon yang sudah meninggal dunia dan berharap kurniaan itu dijaga sebaiknya.

“Walaupun ada di antara penerima hak milik yang hadir pada hari ini adalah waris kepada pemohon asal kerana sebahagian daripada fail permohonan ini adalah kes-kes tertangguh lebih dari 10 dan 15 tahun lalu.

“Kepada penerima hak milik ini, jagalah harta ini sebaik mungkin agar ianya tidak terlepas ke tangan orang lain,” katanya.

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial