3,800 Pelajar sertai Program Tuisyen YPJ

kamarudin Abdullah

KERAJAAN negeri sentiasa komited untuk membantu rakyat yang berhadapan dengan peningkatan kos sara hidup, melalui pelbagai inisiatif yang dilaksanakan.

Dalam bidang pendidikan, langkah progresif kerajaan Johor untuk memastikan ruang meningkatkan prestasi pendidikan terus terbuka luas di samping meringankan beban golongan berpendapatan rendah dibuktikan melalui program tuisyen Yayasan Pelajaran Johor (YPJ).

Program tuisyen YPJ diperkenalkan bagi membolehkan kalangan pelajar dari keluarga kurang berkemampuan menikmati kemudahan pembelajaran tambahan di luar waktu sekolah.

Dianggarkan kira-kira 155 sekolah menengah dari seluruh negeri Johor terlibat dalam program ini.

Tuisyen akan diadakan 4 kali sebulan dengan membabitkan penyertaan 3,800 pelajar, manakala jumlah guru adalah lebih kurang 620 orang.

YPJ membelanjakan RM2 juta setahun untuk melaksanakan program tuisyen ini.

Menerangkan mengenai program itu, Pengurus Besar YPJ, Kamarudin Abdullah, berkata, ia bermula pada 1997 dan diberi secara percuma kepada pelajar daripada keluarga yang tidak mampu menghantar mereka untuk mendapatkan tuisyen di kelas berbayar.

Beliau berkata, program itu melibatkan pelajar yang akan menduduki Ujian Pelajaran Sekolah Rendah (UPSR) selain peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Program ini dibahagikan kepada Tuisyen Kampung untuk mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, matematik dan sains manakala Tuisyen Ibnu Sina untuk mata pelajaran biologi, fizik, kimia dan matematik tambahan.

“Pada 2011, YPJ telah menetapkan Program Tuisyen Hikmah tidak diberikan lagi kepada pelajar yang akan menduduki PMR dan diikuti pada 2013, tuisyen juga tidak diberikan kepada murid Tingkatan 4,” katanya.

tuisyenYPJ

Katanya, bermula tahun ini, YPJ telah melakukan penjenamaan program tuisyen ini kepada Program Tuisyen SPM YPJ (Aliran Sains) dan tidak lagi menanggung sepenuhnya kos pelaksanaan program berkenaan.

Sebaliknya, YPJ akan menanggung sebahagian daripada kos pelaksanaan program tuisyen itu.

“Program ini akan melibatkan kerjasama dengan Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) serta sekolah menengah yang menerima tawaran sahaja,” katanya.

Kamarudin berkata, tumpuan program juga hanya kepada pelajar calon peperiksaan SPM dari aliran sains tulen seperti biologi, fizik, kimia dan matematik tambahan.

Beliau berkata, program itu adalah sebagai pendedahan kepada teknik-teknik belajar yang betul di samping dapat meningkatkan dan menguasai kemahiran serta mengaplikasikannya dalam peperiksaan khususnya dalam peperiksaan yang akan mereka duduki.

Katanya, YPJ mensasarkan penyertaan pelajar dari luar bandar dan keluarga kurang berkemampuan iaitu pendapatan perkapita keluarga dalam tidak melebihi RM4,000 sebulan.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial