45 RUMAH BAHARU PROGRAM NBOS AKAN DIBINA BOMBA TAHUN HADAPAN

12299137_10204376296841091_4036548962953655886_n

MUAR – Sebanyak 45 rumah baharu melalui Program Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) akan dibina Jabatan Bomba dan Penyelamat di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak membabitkan peruntukan hampir RM3 juta pada tahun depan.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) jabatan itu Datuk Amer Yusof berkata ia akan dibina di seluruh negara dengan sebahagian besar penerimanya terdiri daripada mangsa kebakaran yang kurang berkemampuan.

"Selain mereka yang terdiri daripada mangsa kebakaran, kita juga akan melihat kepada mereka yang tidak berkemampuan untuk dipilih menerima rumah bantuan ini yang setiap sebuah berharga kira-kira RM40,000.

"Di Johor sebanyak enam buah rumah ini akan kita bina tahun depan melalui peruntukan pelbagai kementerian. Sabah dan Sarawak akan menerima lapan buah rumah dan selebihnya di negeri lain," katanya selepas majlis Penyerahan Kunci Rumah, Projek Pembinaan Semula Rumah Terbakar melalui NBOS Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Bantuan 1Azam di Kampung Sungai Pulai Laut, Mukim Sungai Balang, Parit Jawa di sini, Jumaat.

Majlis berkenaan dirasmikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim yang turut dihadiri Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor Mohd Yusoff Mohd Gunnos.

Beliau berkata selain itu, pihaknya juga akan memilih 30 buah rumah untuk dibaik pulih rumah membabitkan peruntukan sebanyak RM480,000.

"Setiap rumah yang dibaiki, kita peruntukan sebanyak RM15,000," katanya.

Amer juga turut meminta pihak swasta untuk bersama-sama menjayakan program berkenaan bagi menceriakan penerima rumah yang tidak berkemampuan di negara ini.

Mengenai banjir, Amer berkata pihaknya kini sudah bersiap sedia menggerakkan jenteranya bagi menghadapi musim tengkujuh ketika ini.

"Semua sudah sedia dan kita akan menggerakkan segala yang perlu termasuk aset-aset sebai bermulanya banjir," katanya.- BERNAMA
 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial