5 Teras Utama Johor Growth Vision (JGV)

elias

JOHOR Growth Vision (JGV) merupakan visi yang akan menjadi teras dan asas strategi kerajaan negeri dalam merencanakan hala tuju dan pelan pembangunan Johor bagi tempoh jangka panjang.

Pelan ini telah mengenalpasti visi Negeri Johor dengan lima teras utama pembangunan ekonomi  yang mencakupi:

•  Ekosistem Berdaya Maju dan Berdaya

    Saing.

•  Modal Insan Berkemahiran Tinggi.

•  Infrastruktur dan Teknologi Maju.

•  Pertumbuhan Yang Saksama dan Mapan.

•  Perkhidmatan Awam Yang Responsif.

Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Johor (UPENJ), Elias Hasran berkata, model JGV ini didokong strategi yang direncanakan mengikut teras-teras utama di atas yang dicerna dan disusunatur berdasarkan strategi yang telahpun berjaya dilaksanakan di beberapa negara termasuk negara maju yang mempunyai pelbagai status ekonomi.

“Strategi yang dicadangkan akan diperhalusi supaya dapat memenuhi keadaan semasa di Johor. Strategi yang akan digariskan adalah lebih kreatif, inovatif serta dapat memaksimumkan pembangunan menggunakan sumber yang terhad,” katanya.

Jika dilihat pada pelan pertumbuhan strategi yang sedang dirangka ini, ia amat komprehensif dengan mengenalpasti kekuatan setiap daerah di negeri ini.

“Melalui pelan ini, setiap pembangunan di peringkat daerah akan dimajukan mengikut kekuatan yang dapat ditawarkan. Perancangan ini dijangka dapat membentuk kluster ekonomi yang lebih baik supaya setiap daerah mempunyai fokus industri tersendiri dan saling melengkapi,” katanya.

Elias berkata, selari dengan matlamat negara untuk mencapai ekonomi berpendapatan tinggi, kebanyakan dasar dan strategi yang baharu perlu direncanakan untuk membawa pembangunan Johor ke peringkat seterusnya.

“Ada yang tidak lagi sesuai kerana kita telah berada pada fasa baharu pembangunan di mana pertumbuhan ekonomi kita tidak lagi mampu menanggung kos alam sekitar yang besar serta desakan sara hidup yang semakin meningkat,” katanya.

Beliau berkata, Johor memerlukan perubahan yang radikal dalam pendekatan negeri supaya matlamat untuk menjadi sebuah negeri berpendapatan tinggi menjelang 2020 tercapai dan tidak terperangkap dalam ekonomi berpendapatan sederhana.

Model ekonomi yang digunapakai Johor ketika ini adalah seperti digariskan dalam Model Ekonomi Baharu yang berpaksikan kepada tiga komponen utama iaitu negara berpendapatan tinggi, keterangkuman dan kemapanan.

Model ekonomi kali ini mengambil pendekatan yang lebih menyeluruh dengan turut memberikan tumpuan kepada aspek pembangunan manusia.

“Kita menyedari di sebalik kejayaan mengurangkan kemiskinan di Johor, namun 40 peratus terbawah daripada isi rumah di Johor masih memperoleh pendapatan kurang RM2,000 sebulan. Ini menggambarkan sedikit ketidaksamarataan dari segi pendapatan dan ia sedang giat ditangani,” katanya.

JGV

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial