6 MUKIM BENUT ANJUR AKTIVITI KEMERDEKAAN

image

PONTIAN 22 Ogos – Sempena sambutan Bulan Kemerdekaan tahun ini, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kawasan 6 Mukim Benut tidak mahu ketinggalan untuk memeriahkannya dengan pelbagai aktiviti termasuk konvoi dan kempen kibar Jalur Gemilang.

Pengerusinya, Buang Saadon ber­kata, penganjuran pelbagai aktiviti itu diharap dapat menyemarakkan lagi sambutan yang adakan diraikan di seluruh negara hujung bulan ini.

Menurutnya, selain konvoi bermotosikal dan kempen kibar Jalur Gemilang, pihaknya turut me­ngadakan acara sukaneka melibatkan kanak-kanak dan orang ramai di Dataran Kampung Permatang Sepam, dekat sini semalam.

Katanya, sambutan yang diberikan oleh penduduk amat mengga­lakkan dengan kehadiran kira-kira 300 orang yang turut dihadiri oleh Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

“Pada malam pula diadakan acara menaikkan bendera dan menyanyikan lagu Negaraku serta lagu-lagu patriotik yang dirasmikan oleh Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Pontian, Datuk Zamrud Misdi,” katanya.

Buang berkata, penglibatan semua lapisan masyarakat termasuk daripada kanak-kanak merupakan usa­ha bagi menerapkan semangat kecintaan terhadap negara pada usia muda walaupun mereka belum menge­tahui erti kemerdekaan sebenar.

“Kami bersyukur kerana penduduk memberikan sokongan bagi bersama-sama menjayakan program ini walaupun terpaksa me­ninggalkan seketika tugas mereka di kebun sawit ataupun aktiviti seharian yang lain,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha UMNO Cawangan Kampung Permatang Sepam, Johari Sarkom berkata, sam­butan yang diadakan di kampung tersebut merupakan acara tahunan yang diadakan menjelang sambutan Hari Kemerdekaan.

“Bagi memeriahkan sambutan, pihak penganjur turut mengadakan jualan barangan industri kecil dan sederhana (IKS) serta hasil-hasil pertanian penduduk khususnya dalam kalangan golongan wanita,” katanya.- UTUSAN MALAYSIA

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial