620 Penduduk Terima Notis 5A Tanah Pertanian Bekok

LABIS, 3 Jan. – Seramai 620 penduduk di kawasan Parlimen Labis boleh menarik nafas lega apabila menerima Notis 5A Tanah Pertanian Bekok, iaitu selepas 13 tahun membuat permohonan.

Penyampaian notis tersebut disampaikan sendiri oleh Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin pada satu majlis yang diadakan sempena lawatan kerja rasminya ke Parlimen tersebut.

Mohamed Khaled berkata Kerajaan Negeri akan sentiasa berusaha untuk menyelesaikan masalah tanah yang dihadapi oleh rakyat.

Beliau berharap penduduk dapat memanfaatkan tanah tersebut dan tidak  menjualnya kepada pihak ketiga.

“Keutamaan diberikan kepada mereka yang belum memiliki tanah. Kita mengurniakan dengan harga subsidi dan bukan harga pasaran. Jangan sekali-kali tanah itu dijual.

“Tanah-tanah ini bertujuan untuk aktiviti pertanian dan saya berharap ia benar-benar dimanfaatkan kerana kita nak jadikan Segamat ini kawasan yang berasaskan kepada pertanian,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut yang diadakan di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Bali, Chaah.

Yang turut hadir, Ahli Parlimen Labis, Datuk Chua Tee Yong yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri; Pegawai Daerah Segamat, Mohd. Haffiz Ahmad dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenang, Mohd. Azhar Ibrahim.

Tanah Pertanian Bekok melibatkan keluasan 2,200 ekar dan tanah yang dipohon adalah tanah yang diumumkan kepada penduduk tempatan.

Menurut Mohamed Khaled sebanyak 75 plot lagi masih belum diagihkan berikutan masalah teknikal dan perkara itu sedang diteliti.

Sementara bagi pemohon daripada masyarakat Cina dan India juga sedang dikaji bagi meluluskan permohonan tersebut.

 

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial