7 fokus utama Pelan Suara Hati Johor

NUSAJAYA: Kerajaan Negeri memberi mengariskan 7 fokus utama yang menjadi dasar perancangan pembangunan pentadbiran Kerajaan Negeri melalui Pelan Suara Hati Johor.

Menteri Besar, Dato’ Mohamed Khaled Nordin, berkata, Pelan Suara Hati itu ialah satu pelan pencapaian berlandaskan pemantauan, ukuran dan berstrategi bagi menangani segala permasalahan rakyat ke arah mengecapi pembangunan negeri yang mapan dan lestari.

“Bagi menterjemahkan suara rakyat itu, kita kemukakan kepada mereka yang pakar, yang mahir dan yang berilmu, bagaimana kita boleh menjadikan semua ini, sebagai pedoman kepada pelan pembangunan Negeri Johor.

 “Maka, dari begitu banyak pandangan yang dikemukakan, kita rumuskan bahawa ia menjurus kepada 7 fokus utama yang harus mendasari perancangan pembangunan pentadbiran Kerajaan Negeri,” katanya.

Beliau berkata perkara pertama yang di beri fokus adalah soal keselamatan.
“ Rakyat Johor mahukan keadaan keselamatan dipertingkatkan dan saya berjanji akan meletakkan keselamatan negeri di atas segala-galanya. Apa yang pasti rakyat mesti dilindungi berlandaskan undang-undang,” katanya.

Katanya lagi, fokus kedua pula ialah pertumbuhan ekonomi yang mapan.

“Pertumbuhan ekonomi ini mestilah ‘inclusive’ dan adil. Ia mesti ‘pro-poor’. Rakyat mahukan pekerjaaan dan bukan ihsan.

“Mereka mahukan kehidupan penuh bermaruah dengan pendapatan yang boleh menjadikan mereka berdikari,” katannya.

Mohamed Khaled berkata perkara ketiga yang dimahukan oleh rakyat ialah memiliki rumah sendiri.

“Memiliki rumah bukan lagi keperluan, tetapi adalah hak. Dan ia mesti mampu dimiliki. Saya memahami betapa peritnya untuk melihat sektor perumahan tumbuh dengan pesat tetapi tujuannya ialah untuk ditawarkan kepada warga asing dengan harga amat luar biasa tingginya.

“Keempat, kos kehidupan di Johor mestilah munasabah dan sesuai dengan pendapatan. Ini bermakna bahawa mekanisme ekonomi kita mesti boleh memastikan kos barangan dan perkhidmatan adalah selari dengan pertumbuhan pendapatan masyarakat.

“ Rakyat merasa terbeban dengan kos hidup yang semakin meningkat. Dan kita tidak boleh membiarkan perkara ini berterusan. Ia mesti ditangani,” katanya.

Ujarnya lagi, perkara kelima ialah kemudahan awam Johor yang jauh dari memuaskan.

“Ia perlu dan mesti dipertingkatkan. Johor yang maju dan moden mesti mempunyai prasarana setara negara maju. Ini perkara asasi. Ia bukan permintaan yang luar biasa tetapi sesuatu yang sepatutnya diwujudkan oleh Kerajaan yang bertanggungjawab,” katanya.

Selain itu katanya, kemudahan kesihatan yang baik dan bermutu tinggi masih lagi perlu dipertingkatkan.

“Ia mesti menyeluruh dan mudah didapati. Namun, rakyat bukan sahaja perlu kepada kemudahan kesihatan yang mudah didapati tetapi juga kepakaran yang terbaik.

“Akhirnya ketujuh, di sebalik semua keperluan material dan asasi, rakyat juga mahukan pemerintahan dan masyarakat Johor yang Islami dan berpegang pada agama dan nilai,” katanya.

Hadir sama pada majlis itu ialah Speaker Dewan Negeri, Datuk Mohamad Aziz, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ismail Karim dan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial