700 Sukarelawan Sertai Ops Cuci Banjir

Mohamed Khaled melepaskan konvoi Ops Cuci Banjir Sukarelawan Darul Ta’zim bersama Zulkurnain dan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Johor, Ghani Abd Rahman.

KOTA ISKANDAR: Seramai 700 Sukarelawan Darul Ta’zim (SDT) menyertai Ops Cuci Banjir bagi menjayakan misi pasca banjir membabitkan tiga daerah di negeri ini.

Majlis pelepasan konvoi SDT itu disempurnakan oleh Menteri Besar, Dato’ Mohamed Khaled Nordin di lobi Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad sini, hari ini.

Mohamed Khaled berkata, kesukarelawanan adalah antara salah satu asas Kerajaan Negeri mewujudkan ‘Team Johor’.

“Antara asas yang kita lihat selain daripada permuafakatan yang  wujud dalam kalangan masyarakat, salah satu sumbangan terbesar yang menyebabkan saya dan Kerajaan Negeri bersetuju untuk mewujudkan konsep Team Johor ini ialah dengan kewujudan golongan yang menjayakan sukarelawan di negeri ini.

“Kita percaya konsep Team Johor ini tidak akan mencapai sasaran dan hanya menjadi satu retorik jika tiada semangat muafakat, kerjasama dan sukarelawan oleh saudara saudari sekalian,” katanya.

Beliau turut melahirkan penghargaan Kerajaan Negeri kepada SDT yang terbabit dalam ops berkenaan.

“Kerajaan Negeri amat menghargai sumbangan anda semua yang tampil untuk menjayakan Ops Cuci Banjir kali ini bagi membantu meringankan beban mangsa banjir.

“Anda semua perlu bekerja dalam satu pasukan dan apa yang lebih penting ialah jaga keselamatan diri masing-masing sepanjang ops ini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan Johor, Datuk Zulkurnain Kamisan, berkata misi pasca banjir itu bertumpu di tiga daerah iaitu Segamat, Muar dan Labis yang merupakan antara kawasan paling teruk terjejas akibat banjir minggu lalu.

“SDT yang menyertai Ops Cuci Banjir hari ini, membabitkan penyertaan dari 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini yang akan bergerak ke 50 lokasi.

“Pelbagai misi akan dijayakan dalam ops ini antaranya pembersihan di premis awam, balai raya, masjid dan juga kediaman yang terjejas akibat banjir.

“Selain itu, SDT juga akan menghantar barangan makanan ke beberapa kawasan yang terputus hubungan serta membantu rawatan kesihatan,” katanya.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial