7,200 Murid Kurang Berkemampuan Dibantu

01-01-2017_bantuan-sekolah

SEGAMAT 1 Jan – Setiap kali menjelang sesi persekolahan baharu, pelbagai pihak tampil memberikan sumbangan kelengkapan sekolah kepada murid-murid daripada keluarga kurang berkemampuan.

Pejabat Ahli Parlimen Sekijang juga tidak ketinggalan dengan memberi bantuan kepada 7,200 murid dari 25 sekolah rendah di kawasan Parlimen berkenaan di Dewan Serbaguna Segamat, di sini, baru-baru ini.

Ahli Parlimennya, Anuar Abdul Manap yang menyampaikan sumbangan berupa beg sekolah berkenaan berkata, program tersebut merupakan kali pertama diadakan secara besar-besaran bagi membantu golongan yang kurang berkemampuan.

“Namun pada kali ini pemberian dibuat secara adil kepada semua murid sekolah rendah di kawasan Parlimen Sekijang yang turut melibatkan golongan yang berkemampuan.
“Sumbangan ini juga sebagai tanda keprihatinan dan tanggungjawab saya sebagai Ahli Parlimen dengan harapan dapat meringankan bebanan ibu bapa dalam menyediakan kemudahan persekolahan anak-anak pada sesi persekolahan tidak lama lagi,” katanya.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pemanis, Lau Chin Hoon dan Ketua Puteri UMNO Bahagian Sekijang, Shabariah Jamaluddin.

Selain meminta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di semua sekolah di kawasan tersebut mengenal pasti para pelajar yang memerlukan bantuan, Anuar turut mengalu-alukan penglibatan syarikat swasta atau korporat untuk tampil membantu golongan berkenaan.

Sementara itu, Rosli Abu Samah, 44, dari Kampung Jawa, di sini menyifatkan sumbangan yang diberikan dapat membantu meringankan bebanannya untuk menyediakan kelengkapan persekolahan untuk dua orang anak­nya, Mohd. Firash Faiq, 8, dan Nur Farzana, 12.

“Ini merupakan kali pertama anak-anak saya dapat bantuan. Saya amat lega apabila dua anak terpilih untuk terima bantuan ini kerana dapat meringankan beban saya,” katanya sambil memberitahu turut mempunyai dua lagi anak yang belajar di sekolah menengah. – Utusan Online

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial