77 Sekolah Agama Terbengkalai Siap 2017

HASNI MOHAMMAD (tengah) menyampaikan sumbangan kepada seorang penerima orang kurang upaya di Masjid Jamek Sungai Besar, Benut, Pontian, Johor, kelmarin. UTUSAN/ MUHAMMAD ZIKRI
HASNI MOHAMMAD (tengah) menyampaikan sumbangan kepada seorang penerima orang kurang upaya di Masjid Jamek Sungai Besar, Benut, Pontian, Johor, kelmarin. UTUSAN/ MUHAMMAD ZIKRI

PONTIAN, 14 Jun – Kerja-kerja pembinaan 77 buah sekolah agama di negeri ini yang terbengkalai sebelum ini disebabkan beberapa masalah akan disambung semula dan disiapkan sepenuhnya tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Luar Bandar dan Wilayah negeri, Datuk Hasni Mohammad berkata, projek pembinaan itu kini di bawah pengurusan Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) untuk memastikannya menepati jadual.

Harap tiada masalah lagi dan semua sekolah agama baharu itu akan siap pada 30 Jun 2017, katanya ketika berucap dalam Majlis Membara 2016 Iftar Ramadan dan Majlis Berbuka Puasa di Masjid Jamek Sungai Besar, Benut, di sini baru-baru ini.

Dalam majlis tersebut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut menyampaikan sumbangan kepada 20 penerima terdiri daripada warga emas dan ibu tunggal bertujuan meringankan beban mereka.

Yang turut hadir, Naib Ketua UMNO Bahagian Pontian, Muhamadan Ahmad; Ketua Pergerakan Wanita UMNO bahagian, Hasrunizah Hassan dan Ketua Penerangan UMNO bahagian, Nasrihat Turiman.

Sementara itu, beliau berkata, masyarakat Islam harus menggunakan kedatangan Ramadan sebagai waktu untuk merapatkan silaturahim dan memperbanyakkan amalan termasuk bersedekah kepada golongan kurang bernasib baik.

Beliau berkata, Ramadan yang datang setahun sekali harus digunakan sebaik mungkin daripada melakukan perbuatan sia-sia atau membicarakan perkara tidak bermanfaat hingga menggugat perpaduan.

Umat Islam juga perlu melupakan seketika apa yang disebarkan di media sosial mahupun aplikasi yang lain seperti WhatsApp, telegram, Instagram, Wechat dan Facebook yang didapati kurang tepat sumber maklumatnya.

Ini kerana kadang kala maklumat yang disebarkan tidak tahu di mana hujung pangkalnya menyebabkan masyarakat keliru dan akhirnya berlaku perpecahan dalam kalangan umat Islam dan orang Melayu, ujarnya. – UTUSAN

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial