Abu Bakar Watak Dinobatkan Tokoh Maal Hijrah Johor 2016

JOHOR BAHRU, 2 Okt – Bekas Ketua Penolong Pengarah Bahagian Dakwah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), Abu Bakar Watak hari ini dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Negeri Johor 1438H/2016M.

Beliau yang berumur 66 tahun telah berkhidmat selama 22 tahun bersama badan itu, dan pernah turut berkhidmat sebagai Penulis Khutbah Negeri sejak tahun 2006.

“Saya amat berterima kasih kepada jawatankuasa pemilihan Kerajaan Negeri, dan ke bawah duli Tuanku atas penganugerahan ini.

“Ini merupakan satu nikmat Allah, saya amat bersyukur dan mudah-mudahan ia memberi lagi galakan kepada saya.” kata bapa kepada enam orang cahaya mata itu.

Beliau yang masih lagi aktif dalam program kemasyarakatan dan sirkit ceramah membawa pulang wang tunai RM10,000, sebuah cenderahati beserta sijil penghargaan dari Kerajaan Negeri pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Johor.

image

Majlis itu disempurnakan oleh Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin di Pusat Islam Iskandar, Johor Bahru.

Turut hadir pada majlis itu, Speaker Dewan Negeri Johor Tan Sri Mohamad Aziz, Pengerusi Jawatankuasa Agama Negeri Johor, Abd Mutalip Abd Rahim dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ismail Karim.

Dalam ucapan perasmian beliau, Mohamed Khaled menggesa umat Islam agar sentiasa menjadikan peristiwa Hijrah sebagai inspirasi untuk berusaha berpindah menuju kehidupan yang lebih baik.

“Kehidupan yang lebih baik itu tidak akan terjelma tanpa usaha dan amal, kita diperintahkan untuk bekerja dan selalu berusaha agar apa yang kita ingin dan cita-citakan dapat tercapai.

“Inilah sikap dan pemikiran berkemajuan, yakinlah tidak ada di dunia ini yang boleh berhasil tanpa melalui usaha dan kerja keras.

Beliau turut menyeru semua umat Islam untuk menyemarakkan ukhwah Islamiyyah demi mengukuhkan perpaduan ummah.

“Bukan sahaja bersatu padu dan hidup bersama sebagai sebuah komuniti, namun benar-benar bersahabat dengan ikhlas dan jujur kepada satu sama lain.

“Raikanlah kepelbagaian tanah air kita dan terima segala perbezaan ini, hanya melalui kesatuan kita sesama Muslim dan sesama pelbagai kaum serta agama lain akan menjadikan kita kuat,” katanya.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial