AFC : JDT, SOUTH CHINA TERIKAT 1-1

photo_2015-08-26_00-48-21

Johor Darul Takzim (JDT) gagal untuk memastikan gawang gol mereka tidak dibolosi di Larkin selepas South China berjaya membawa pulang kelebihan satu gol menjelang perlawanan kedua suku akhir Piala AFC 15 September nanti.

South China mengasak JDT seawal wisel perlawanan ditiupkan, pada minit ke-2, gawang gol JDT diuji oleh pertahanan South China Bojan Malisic menerusi rembatan volley, namun berjaya ditampan oleh penjaga gol Izham Tarmizi yang menggantikan Farizal Marlias.

Walaupun beraksi di laman sendiri, JDT terpaksa mengambil masa untuk menyesuaikan diri sebelum berjaya mengawal bahagian tengah padang. 

Juara Liga Super 2015 dihujani peluang untuk mencetak gol, tiga sepakan percuma dihadiahkan oleh pengadil perlawanan, namun gagal disempurnakan oleh kapten pasukan Safiq Rahim.

Sebelum babak pertama perlawanan, JDT sekali lagi memiliki peluang menerusi tandukan pertahanan Fadhli Shas namun usahanya tersasar melepasi pintu gol lawan.

Di babak kedua perlawanan, Pengadil perlawanan memutuskan sepakan penalti selepas hantaran silang S. Kunalan telah terkena tangan bek kiri South China Moses Mensah. Pemain import JDT Luciano Figueroa menyempurnakan jaringan sepakan penalti untuk meletakkan Harimau Selatan di depan.

Luciano berpeluang untuk menggandakan jaringan selepas menandukkan hantaran silang Safiq Rahim, namun tersasar melepasi penjaga gol South China.

Pengendali pasukan South China Casemiro Mior telah mengubah strategi pasukan dan ia membuahkan hasil. Pada minit ke-62, Mahama Awal melakukan tampanan mudah untuk menewaskan penjaga gol Izham Tarmizi.

Selepas jaringan penyamaan, momentum kini berpihak kepada South China selepas melakukan asakan demi asakan untuk mencetak gol kedua.

Perlawanan tamat dengan jaringan 1-1, South China akan menantikan perlawanan kedua suku akhir Piala AFC dengan kelebihan satu gol di tempat lawan.- ASTRO ARENA

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial