Agen Tidak Bertanggungjawab Punca Masalah Pekerja China

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan dan Sumber Manusia, R. Vidyananthan.

ISKANDAR PUTERI, 14 Mei – Kerajaan Negeri tidak memandang enteng isu pekerja warganegara China yang dikatakan diambil bekerja tanpa melalui prosedur yang sah.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan dan Sumber Manusia, R. Vidyananthan berkata, ia berpunca daripada pihak agen dan individu tidak bertanggungjawab yang bertindak sebagai orang tengah untuk membawa masuk pekerja-pekerja berkenaan.

“Ini adalah sesuatu yang serius kerana melibatkan hubungan kerajaan dengan kerajaan (G2G). Isu berkenaan pekerja China di Forest City telah dijawab dalam akhbar Malay Mail keluaran 10 Mei 2017 di mana pihak Imigresen dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengambil tindakan yang sewajarnya untuk mengatasi masalah ini.

“Sehingga kini, permohonan permit kerja yang telah diterima oleh Jabatan Imigresen daripada syarikat-syarikat pembinaan utama bagi waganegara China hanya melibatkan permohonan pas lawatan (kerja sementara), pas penggajian dan pas lawatan ikhtisas (PLIK),” jelas beliau.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan pada persidangan Dewan Negeri Johor ke-13 di Kota Iskandar, hari ini.

Tambah beliau, permohonan bagi pas-pas berkaitan hanya akan diporses apabila telah mendapat pertimbangan dan kelulusan kuota oleh pihak kementerian.

“Selain itu, Jabatan Imigresen tidak pernah mengeluarkan pas khas (special pass) bagi tujuan pelepasan bekerja tanpa mengemukakan pemohonan terlebih dahulu.

“Di samping pas-pas yang dikeluarkan secara sah oleh Jabatan Imigresen, pemantauan dan pelaksanaan operasi bagi kesalahan menyalah guna pas juga sering dijalankan,” katanya.

Dari tahun 2014 sehingga 2017, seramai 268 pekerja warganegara China telah ditangkap atas pelbagai kesalahan termasuk tiada pas atau permit yang sah, tinggal lebih masa, melanggar syarat pas serta memiliki pas atau dokumen palsu.

Manakala, bilangan pekerja asing yang sah dikeluarkan dengan pas lawatan (kerja sementara), pas penggajian dan PLIK bagi projek-projek Forest City, R&F Princess Cove, Greenland Jade Palace, dan Country Garden Danga Bay berjumlah 4,167 orang.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial