Agensi Kerajaan Perlu Tingkat Pegangan Aset – Wanita Johor

KUALA LUMPUR: Agensi kerajaan yang berperanan untuk  memperkasakan ekonomi disarankan untuk meningkatkan lagi jumlahpegangan aset yang berpotensi dan bernilai tinggi di kawasan yang strategik dan rancak perkembangan ekonominya.

Ketua Wanita UMNO Johor Bahru, Saadiah Hussin berkata agensi-agensi berkenaan seperti MARA, UDA dan Majlis Agama Negeri-Negeri  perlu berikhtiar dan meletakkan sasaran tinggi untuk menjadi pemain utama dalam perkembangan perbandaran.

"Rakyat marhain termasuk usahawan sememangnya mengharapkan agensi terlibat menjadi alat penembusan akses perniagaan mereka, untuk sama bersaing dengan usahawan gergasi yang lahir semasa zaman 'pecah dan perintah'.

"Dengan kekangan yang ada, menjadi harapan WANITA , andai kemakmuran itu juga, dibina dan diperkasa, diisi dan dipenuhi, oleh agensi kepada usahawaniaga bumiputera.

"Di situlah, jihad ekonomi akan lebih difahami bukan sebagai frasa penyedap kata, tetapi sebagai hak untuk diperkasa," katanya.

Beliau berkata demikian dalan ucapan perbahasannya di Persidangan Pergerakan Wanita UMNO, di sini hari ini.

Dalam ucapannya itu, beliau berkata sudah tiba masanya kerajaan menekankan pembabitan 30% wanita dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta sebagai ahli lembaga pengarah atau pasukan pembuat keputusan.

"Dengan adanya dasar ini, matlamat kerajaan dapat direalisasikan dan peruntukan kerajaan kepada wanita dapat dimaksimumkan,"katanya.

Di samping itu, katanya satu sistem pemantauan dan indikator prestasi penglibatan wanita, serta usaha yang berterusan dalam memastikan pencapaian wanita dapat dipertingkatkan dalam pembangunan ekonomi negara.

"Lingkungan pemerkasaan dan pemberdayaan ekonomi yang lebih luas, frasa yang lazim kita dengar dan sebut, wajar kita laksanakan dengan penuh ikhlas dan bersungguh.

"Jihad ekonomi, adalah satu mentera yang boleh memacu keseluruhan idea dalam hal ekonomi bukan sahaja yang berkait dengan wanita, tetapi juga secara lebih menyeluruh," katanya.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial