AMBIL BERAT ISU URUSAN HARTA PUSAKA

image (1)

PONTIAN – Sikap tidak ambil peduli soal pengurusan harta seperti faraid dan wasiat perlu dikikis bagi mengelakkan konflik apabila berlaku kematian kelak. 

Ketua Eksekutif Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim, Khasanah Sufa’at berkata, sikap tidak peduli itu perlu dikikis kerana banyak saluran agensi berkaitan dan banyak program kesedaran dan seminar diadakan bagi memupuk pengetahuan tentang pengurusan harta. 

“Harta dan kewangan adalah aset yang penting, perlu diuruskan dengan baik dan menetapi syariah supaya harta tersebit tidak disia-siakan setelah kematian pemilik asal. 

“Seminar Pengurusan Harta ini diwujudkan bagi memberikan kesedaran pengurusan harta yang baik melalui pendedahan mengenai ilmu faraid, penulisan wasiat, hibah dan pengurusan harta sepencarian,” katanya pada majlis penutup Seminar Pengurusan Harta Perdana 2015 di Dewan Jubli Intan Pontian, di sini, kelmarin. 

Menurutnya, seramai 500 peserta terdiri daripada penjawat awam, pekerja swasta, belia dan pertubuhan kerajaan mengambil bahagian dalam seminar tersebut. 

Khasanah berkata, keadaan pada masa sekarang berbeza berbanding 11 tahun dahulu, di mana penerimaan masyarakat boleh dikatakan kurang atau kosong mengenai pengurusan harta. 

“Hasil daripada program, seminar, iklan dan sebagainya keadaan kesedaran masyarakat tentang pengurusan harta telah berubah. 

“Selain itu, kesedaran juga telah timbul memandangkan masyarakat Islam kita, kita mempunyai kelebihan daripada sudah pemilikan harta yang menjadikan pembahagian harta sebagai satu pilihan,” katanya. 

Jelasnya, soal harta sememangnya perkara begitu penting perlu diberikan perhatian kerana boleh menimbulkan konflik dalam rumah tangga apabila berlaku kematian. 

“Pengurusan harta dan kewangan amat penting dalam kehidupan setiap individu, pembangunan masyarakat, malah sehingga kepada pembangunan negara maju dan berjaya,” katanya.

Justeru, pihaknya berharap agar ilmu diperoleh dari sesi ceramah sepanjang seminar dapat digunakan  setiap keluarga.- SINAR HARIAN

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial