ANAK PANDA DI ZOO NEGARA SUDAH BERTOMPOK

71441026967_PANDA

KUALA LUMPUR: Anak panda gergasi yang dilahirkan 12 hari lalu, kini mula menampakkan tompok hitam di mata, hidung, telinga dan bahu.

Timbalan Presiden Zoo Negara Rosly@Rahmat Ahmat Lana berkata tompok hitam pada haiwan seberat 380 gram itu merupakan ciri asas yang terbentuk pada seekor panda.

"Kami dapati anak panda tersebut sudah mula menampakkan ciri-ciri panda dengan wujudnya tompok hitam di beberapa anggota badannya," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Rosly berkata anak panda itu berada dalam keadaan sihat dan aktif, dengan hanya diberikan susu ibunya sahaja.
Katanya, anak panda dan ibunya, Liang Liang, akan dikuarantin selama 60 hari sebelum ditayangkan kepada umum.

Meskipun hanya panda gergasi jantan iaitu Xing Xing sahaja yang berada di pusat pameran di Pusat Konservasi Panda Gergasi (GPCC), beliau berkata jumlah pengunjung tetap tidak berkurangan.

Seperti cuti umum sempena Hari Kebangsaan 2015 hari ini, Xing Xing menerima kehadiran kira-kira 1,500 'tetamu' terdiri daripada golongan kanak-kanak dan dewasa sejak pukul 9 pagi, katanya.

Pasangan panda gergasi dari negara China itu yang sebelum ini dikenali  sebagai Fu Wa dan Feng Yi tiba di Malaysia pada 24 Mei 2014 sebagai simbol  jalinan hubungan diplomatik 40 tahun antara Kuala Lumpur dan Beijing.


Anak panda gergasi yang belum diberi nama itu hanya boleh berada di negara ini selama dua tahun sahaja sebelum dihantar pulang ke China, mengikut perjanjian.- BERNAMA

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial