Anjakan Paradigma Politik Perlu Dilakukan – Pemuda UMNO Johor

Anjakan Paradigma Politik Perlu Dilakukan – Pemuda UMNO Johor

KUALA LUMPUR, 30 Nov – Pergerakan Pemuda UMNO Johor hari ini menyarankan agar satu anjakan paradigma politik perlu dilakukan, yang digelar sebagai ‘Anjakan Politik Budaya Tinggi’.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pontian, Mohd Helmi Buang berkata anjakan itu perlu dilakukan ke arah budaya politik baharu yang berasaskan kemuafakatan, kematangan dan siasah politik yang sebenar.

Menerusi anjakan kemuafakatan, beliau mengajak para perwakilan untuk menyelusuri gagasan dan konsep besar itu yang menjadi asas pentadbiran Kerajaan Negeri Johor.

“Suka untuk saya mengajak para perwakilan untuk menyelusuri dan menjadikan suri tauladan terhadap gagasan dan konsep besar yang telah dibawa oleh YAB Pengerusi Perhubungan UMNO Johor, bila mana beliau mengariskan peri pentingnya pemuafakatan sepertimana Gagasan Muafakat Johor yang telah menjadi asas kepada pentadbiran Kerajaan Negeri Johor pada hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampai ucapan pada Persidangan Pergerakan Pemuda UMNO 2016 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), dekat sini hari ini.

Tambahnya, melalui Gagasan Muafakat Johor, ia telah menggariskan kepentingan untuk UMNO menjadi sebuah keluarga yang besar bagi memanyungi penghuni dan ahli keluarganya.

“Sebagai sebuah keluarga yang besar pastinya wujud sedikit persengketaan, pergeseran, cuit mencuit antara ahli keluarganya.

“Namun, kita harus menangani persengkataan dan pergeseran tersebut secara berhemah agar permasalahan itu tidak mampu menganggu gugat kesejahteraan dan keharmonian keluarga,” katanya.

Selain itu, mengenai anjakan kedua iaitu mendasari budaya politik matang, Helmi berkata UMNO perlu menunjukkan kematangannya dengan menjadi lebih inklusif.

UMNO tidak seharusnya menjadi parti yang begitu eksklusif dan tertutup kepada golongan-golongan tertentu sahaja.

Malah, budaya cantas-mencatas juga harus dihentikan serta merta bagi memastikan UMNO terus menjadi pilihan golongan muda yang lebih progresif dan berani dalam menzahirkan idea-idea mereka.

Tambah beliau, sudah tiba masanya suatu ruang khusus disediakan untuk anak muda ini berpatisipasi bersama UMNO dalam memacu wadah perjuangan parti.

Sementara itu, mengenai anjakan siasah politik sebenar, UMNO diminta melengkapkan ahlinya dengan ilmu pengetahuan dan sentiasa bermuhasabah terhadap asas idelogikal parti itu agar ia tidak lari dari landasan sebenar perjuangan.

“Inilah kunci dan rahsia bagi pembentukan sahsiah politik tinggi. Asas ideologikal dan siasah politik tinggi UMNO ini juga harus dizahirkan dalam pentadbiran kerajaan kini,” katanya.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial