APMM TAHAN 2 KAPAL PINDAH MINYAK SECARA HARAM DI TANJUNG PENGERANG

apmm

JOHOR BAHARU – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan dua kapal asing berserta 12 anak kapal dipercayai terlibat dalam aktiviti pemindahan minyak secara haram di Tanjung Pengerang, Kota Tinggi, awal pagi Isnin.

Ketua Penguatkuasa Maritim Daerah Tanjung Sedili, Kapten Maritim Amran Daud berkata pihaknya menahan kedua-dua kapal itu kira-kira 1.8 batu nautika tenggara Teluk Ramunia pada 1.10 pagi.

Dalam satu kenyataan di sini Selasa, beliau berkata kedua-dua kapal berkenaan ditahan ketika anak kapal memindahkan 500 tan metrik minyak jenis Marin Fuel Oil dari satu kapal ke kapal yang lain.

"Kami menahan 12 orang termasuk kapten dan ketua jurutera kapal. Mereka terdiri daripada tujuh warga Myanmar dan lima warga Indonesia," katanya.

Amran berkata mereka gagal mengemukakan sebarang permit serta dokumen berkaitan pemindahan minyak selain gagal memaklumkan ketibaan kapal dan membayar dius api ketika berada di perairan Malaysia.

Kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 491B (1)(k) dan Seksyen 491B (1)(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 iaitu melakukan pemindahan minyak tanpa kebenaran serta Seksyen 3 Akta Dius Api Persekutuan 1953 iaitu berlabuh tanpa kebenaran tanpa memaklumkan kepada pengarah laut dan gagal membayar dius api.

— BERNAMA

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial