Arab Saudi Yakin Potensi Ekonomi Johor

Mohamed Khaled

JOHOR BAHRU, 1 Mac – Pemeteraian perjanjian pelaburan RM30 bilion (ASD7 bilion) oleh syarikat minyak Arab Saudi, Aramco, ke dalam projek Kompleks Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) di Pengerang menggambarkan keyakinan tinggi para pelabur terhadap potensi dan kedinamikan pertumbuhan ekonomi Johor.

Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata pelaburan tersebut pastinya akan memacu kerancakan projek RAPID dan aktiviti ekonomi di selatan tanah air, selain juga akan menjadi katalis pembangunan penting koridor persisiran Johor Timur.

Menurut beliau, Kerajaan Negeri menyambut baik pemeteraian perjanjian itu dan akan memberi segala bentuk kerjasama dalam menjayakan usaha tersebut.

“Kerajaan Negeri Johor sangat menyambut baik pemeteraian perjanjian ini dan ingin mengucapkan terima kasih dan penghargaan yang sangat mendalam kepada pihak Kerajaan Persekutuan, Petronas serta Aramco.

“Pelaburan besar tersebut bukan sahaja menunjukkan komitmen dan perhatian oleh Kerajaan Persekutuan ke atas pembangunan ekonomi negeri Johor.

“Malah, perkara ini menggambarkan keyakinan tinggi para pelabur luar terhadap potensi dan kedinamikan pertumbuhan ekonomi Johor,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, dekat sini, hari ini.

Tambah beliau, komitmen pelaburan Aramco ini akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan sumber pendapatan kepada rakyat Johor dan Malaysia.

“Ini sekaligus melonjakkan potensi Johor sebagai hab industri hiliran minyak, yang mempunyai kemudahan dan kepakaran penapisan minyak serta industri petrokimia yang lengkap dan bertaraf antarabangsa,” katanya.

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial