‘Arwah Pendorong Karier Politik Saya’ – Hasni

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sawah Pekan Nanas kira-kira jam 11 pagi Isnin.

PONTIAN, 28 Mac – Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri , Datuk Ir. Hasni Mohammad menyifatkan arwah bapanya Mohammad Sidek sebagai sumber inspirasi sepanjang terbabit dalam bidang politik.

Hasni berkata, arwah bapanya adalah individu yang banyak memberikan tunjuk ajar mengenai selok belok politik sehingga berjaya menjadi wakil rakyat.

“Banyak pelajaran yang saya peroleh. Tidak dinafikan politik yang saya pegang pada hari ini adalah hasil didikan Allahyarham.

“Saya amat menyanjung tinggi kesungguhan Allahyarham berdepan dengan pelbagai cabaran dunia politik,” katanya.

Allahyarham meninggal dunia di Hospital Pakar KPJ, Jalan Abdul Samad, Johor Bahru kira-kira jam 8.26 malam Ahad, akibat kanser paru-paru yang dihidapi sejak setahun lalu.

Hasni yang merupakan anak sulung dari lapan beradik berkata, kesemua anak Allahyarham berada di sisi ketika Allahyarham menghembuskan nafas yang terakhir.

Katanya, Allahyarham tidak asing bagi penduduk di Pekan Nanas dan Pontian kerana pernah menjawat jawatan Penghulu Mukim Pengkalan Raja dan Jeram Batu.

Selain itu, Allahyarham yang dilahirkan di Jeram Batu membesar dan menetap di Kampung Pasir Pekan Nanas.

“Dari segi karier politik pula, Allahyarham merupakan Setiausaha Umno Bahagian Pontian bermula dari tahun 1988 hingga 1993.

“Allahyarham juga pernah menjadi pegawai khas kepada Tan Sri Mohamed Rahmat,”katanya.

Hasni yang juga Adun Benut, berterima kasih di atas kunjungan rakan-rakan dan penduduk setempat menziarahi dan memberi penghormatan terakhir buat Allahyarham.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sawah Pekan Nanas kira-kira jam 11 pagi semalam. – Sinar Harian

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial