Asam Pedas : BAKAT JOHOR

Oleh Mohd Ainuddin Aliff Salehuden

Baru-baru ini satu majlis penyerahan peserta Johor Talent kepada Exco-exco Kerajaan Negeri, Ketua-ketua jabatan Kerajaan dan syarikat agensi Kerajaan Negeri telah diadakan di sebuah hotel terkemuka di Johor Bahru.

Program itu telah disempurnakan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Dato’ Mohamed Khaled Nordin. Kawan memang kagum dengan program Johor Talent yang merupakan ilham Dato’ Mohamed Khaled sendiri.

Ia adalah program yang memberi peluang kepada anak-anak Johor untuk menjalankan program internship bersama pemimpin-pemimpin kerajaan negeri dan nama-nama besar dalam syarikat konglomerat kerajaan negeri.

Program Johor Talent ini diadakan bagi mengenalpasti anak-anak Johor yang berbakat serta cemerlang di universiti supaya mereka dapat bersama-sama menyumbang kepada pembangunan di negeri ini.

Seperti kata Yang Amat Berhormat Menteri Besar ketika berucap pada majlis itu, beliau mahu anak-anak Johor yang cemerlang pulang berkhidmat dan berbakti di negeri sendiri.

Semasa majlis penyerahan itu diadakan, Kawan sempat berbual dengan salah seorang sekretariatnya. Perbualan kami bersandarkan mengenai pengalamannya dalam menemuduga kesemua pemohon Johor Talent yang telah disenarai pendek.

Katanya, dia sendiri kagum dengan kecemerlangan anak-anak Johor yang memohon untuk menyertai program seliaan Institut Kepimpinan Dan Latihan Semangat Dato’ Onn (IKLAS) itu.

Daripada lebih 200 calon yang ditemuduga, mereka menghadapi kesukaran untuk memilih hanya 20 calon sahaja yang layak untuk menyertai program Johor Talent tersebut.

Kebanyakan mereka berkebolehan tinggi, mempunyai bakat kepimpinan yang mengagumkan serta kemahiran komunikasi yang cukup luar biasa. Begitulah rumusan yang diberikan oleh sekretariat itu kepada Kawan mengenai mereka yang terpilih untuk menyertai Johor Talent.

Pendek kata, 20 peserta Johor Talent yang terpilih untuk kali ini adalah yang terbaik dari kalangan yang terbaik.

Ini sekali gus menunjukkan bahawa, jika Kerajaan Negeri tidak melaksanakan inisiatif seperti ini, bayangkan ke mana anak-anak Johor yang cemerlang seperti mereka semua akan pergi?

Ya, kemungkinan itu ada untuk mereka kembali pulang dan berbakti di Johor tetapi Kawan yakin kebanyakan mereka akan disambar oleh syarikat-syarikat dari luar negara ataupun mereka akan berkhidmat di negeri lain.  Jika ini berlaku, ia adalah sesuatu yang amat merugikan buat negeri Johor Darul Ta’zim ini.

Memang benar, angka 20 orang yang terpilih untuk menyertai program tersebut mungkin

dilihat kecil. Tetapi sebenarnya impaknya lebih dari itu. Apabila Kerajaan Negeri menganjurkan program seumpama ini, ia sedikit sebanyak membuka mata syarikat-syarikat

swasta di negeri ini untuk mencari anak-anak Johor untuk berbakti di negeri ini.

Buktinya, semasa Kawan menghadiri beberapa program melibatkan para pelabur dari dalam dan luar negara yang melibatkan Menteri Besar, Kawan menerima maklumbalas betapa mereka juga berminat untuk mencari anak-anak Johor cemerlang di negeri luar untuk berkhidmat di sini.

Kawan memang menyokong penganjuran Johor Talent ini kerana Johor lebih memerlukan anak-anak kelahirannya untuk berbakti di sini. Kawan harap selepas ini lebih ramailah anak Johor kembali menabur bakti di negeri sendiri.

Ingatlah bahawa hanya Johor yang mengenali Johor.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial