Azam Kerja Muafakat Johor Bantu Tingkatkan Pendapatan Golongan Sasar

Azam-Vidya

 

KLUANG, 10 April – Lebih 700 peserta Azam Kerja Muafakat Johor telah menerima manfaat daripada pelaksanaan program itu yang mula dilancarkan pada tahun lalu.Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan dan Sumber Manusia Negeri Johor, R.Vidiyanathan berkata program di bawah inisiatif Kerajaan Negeri itu bertujuan meningkatkan pendapatan dan taraf kehidupan golongan berpendapatan rendah di negeri ini.

Beliau berkata Kerajaan Negeri juga kini sedang merancang untuk melaksanakan program pembangunan kepada peserta-peserta tersebut bagi memantapkan diri dan perniagaan yang sedang dijalankan.

“Kita telah merancang program pembangunan kepada peserta-peserta pada tahun lepas dengan memberikan latihan tambahan bagi memantapkan diri dan perniagaan yang sedang dijalankan.

“Ini sebagai usaha berterusan untuk memastikan setiap bantuan yang diberikan dapat dimanfaatkan dengan cara yang bersungguh-sungguh,” katanya ketika merasmikan program Azam Kerja Muafakat Johor 2016, di sini, semalam.

Azam Kerja Muafakat Johor merupakan adaptasi program Azam Kerja peringkat persekutuan yang bertujuan membantu golongan berpendapatan rendah dari kumpulan miskin dan miskin tegar dalam senarai e-kasih.

Namun, pelaksanaanya di Johor diperluaskan termasuk mereka yang memerlukan bantuan ekonomi bagi menjana pendapatan tambahan berikutan bilangan isi rumah yang ramai.

Menurut Vidiyanathan, pelaksanaan program itu yang diteruskan pada tahun ini menunjukan Kerajaan Negeri begitu prihatin dan sentiasa mengambil berat masalah rakyat termasuk soal kemiskinan dan taraf hidup, terutama mereka yang berada di luar bandar.

“Kita sasarkan impak yang lebih baik atas kepercayaan Kerajaan Negeri terutama Menteri besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin yang mahu program ini diteruskan.

“Malah, sasaran juga telah ditetapkan iaitu Orang Kelainan Upaya (OKU), belia berpendapatan 40 Terbawah (B40) atau ibu tunggal dalam kategori B40.

“Tahun lalu, peningkatan pendapatan disasarkan RM300 bagi tempoh tiga bulan, tetapi pada tahun ini peningkatan pendapatan hendaklah mencapai RM500 sebulan,” jelasnya.

Tambah beliau hanya peserta yang benar-benar komited dan bersungguh-sungguh sahaja akan diberikan bantuan berdasarkan jenis perniagaan dan peralatan yang dilakukan.

Sebanyak RM1 juta diperuntukan Kerajaan Negeri pada tahun ini menerusi Bajet Johor 2016 bagi pelaksanaan program Azam Kerja Muafakat Johor.

Rakyat Johor yang terpilih menerima bantuan tersebut perlu menjalani beberapa peringkat latihan termasuk menjana pendapatan, kemahiran dan pekerjaan.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial