AZIZULHASNI, FATEHAH KUASAI GP ASIA TENGGARA DI KL

SOUTH EAST ASIAN TRACK GP

KUALA LUMPUR: Pelumba trek elit negara, Azizulhasni Awang dan Fatehah Mustapha menguasai Velodrom Kuala Lumpur di sini, apabila mengungguli acara pecut pada siri pertama Kejohanan Berbasikal Trek Grand Prix (GP) Asia Tenggara 2015, hari ini. 

Kemenangan itu turut meletakkan kedua-dua pelumba itu di landasan tepat untuk mengumpul mata bagi melayakkan diri ke siri Piala Dunia serta Kejohanan Dunia, sekali gus ke temasya Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil. 

Azizulhasni yang mewakili pasukan Yayasan Sime Darby (YSD) menewaskan rakan senegara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dalam acara pecut lelaki individu dengan catatan masa 11.625 saat dan 11.041s, untuk memenangi kedua-dua perlumbaan, bagi memastikan emas baginya. Pelumba Thailand, Worayut Kapunya meraih pingat gangsa selepas mengatasi wakil Brunei, Abdul Hadrie Morsidi dalam dua perlumbaan dengan catatan 12.779s dan 12.024s. 

"Saingan agak sengit sebab Shah pun bagi tentangan yang hebat juga. Saya nampak dia ada potensi untuk pergi jauh dan ini bagus untuk saya. 

"Selepas Josiah (Ng) bersara, Shah yang jadi rakan sepelatih saya. Dan saya harap dia dapat bantu saya dalam persiapan ke Sukan Olimpik nanti," kata Azizulhasni. 

Ratu trek negara, Fatehah yang juga mewakili YSD turut meraih pingat emas selepas mencatatkan masa 12.419s dan 13.375s untuk menewaskan Farina Shawati Mohd Adnan manakala gangsa milik pelumba Ireland, Shanon Mc Curley. 

"Lepas raya, saya sepatutnya ke Beijing tapi demam. Dalam seminggu saya berehat sepenuhnya dan dua minggu terakhir, baru saya mula kayuh dan sempat pulih untuk acara hari ini. 

"Farina memang rakan sepelatih saya. Kejohanan ini dapat memberi peluang kepadanya untuk berdepan pelumba yang lebih laju, sekali gus belajar daripada kesilapan yang dibuat," kata Fatehah. — BERNAMA

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial