AZRAAI, SATHIANATHAN PILIH JDT JUARA

Johordtlogo2014

KUALA LUMPUR – Apakah juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) bijak me­ngurus tekanan selaku pendahulu atau juara Piala Malaysia, Pahang yang kecewa di penghujung kempen menarik untuk diperhatikan dalam baki tiga perlawanan Liga Super musim ini.

Hanya dua pasukan itu mampu menjadi juara Liga Super 2015 apabila Selangor selaku pencabar terdekat mereka berada 10 mata di belakang Pahang dan 11 mata di tinggalkan JDT.

Bagaimanapun kelebihan kini dilihat lebih memihak kepada JDT berdasarkan kepada jadual perlawanan yang menyaksikan mereka akan berhadapan dengan pasukan yang seharusnya tidak memberikan masalah untuk mereka tewaskan berbanding Tok Gajah yang berdepan perlawanan sukar.

Bekas pengendali Kelantan, Mohd. Azraai Khor Abdullah berkata kedua-dua pasukan mempunyai peluang yang seimbang, namun JDT dilihat mempunyai peluang yang lebih cerah meskipun menerajui liga dengan kelebihan satu mata tetapi mereka juga mempunyai jumlah dibolosi sedikit berbanding Pahang.

“Dalam situasi ini saya meramalkan peluang masih terbuka untuk kedua-dua pasukan itu kerana kedua-dua pasukan kini berada di kemuncak prestasi.

“Tetapi dalam masa yang sama Pahang harus mengharapkan JDT melakukan kesilapan dalam tiga perlawanan berbaki ini untuk merangkul kejuaraan itu.

“Perkara itu jelas lebih memihak kepada skuad kendalian Mario Gomez untuk mempertahankan Liga Super kerana jika tengok pada baki tiga perlawanan akhir dan perlawanan terakhir, Pahang akan menentang Terengganu di tempat lawan yang mana Terengganu juga kini berada di puncak prestasi.

“Berbanding JDT, mereka akan bertemu dengan pasukan-pasukan pertengahan dan berdasarkan persembahan baru-baru ini, saya fikir peluang mereka cukup cerah,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini semalam.

Skuad Harimau Selatan yang menewaskan Lions XII 1-0 dan Tok Gajah yang membelasah Kelantan 5-3, kini dipisahkan satu mata sahaja dengan JDT mendahului Liga Super setelah mengutip 43 mata.

Sementara itu, bekas jurulatih skuad kebangsaan, B.Sathianathan juga senada dengan Azraai apabila melihat skuad Harimau Selatan lebih ampuh dan mampu mempertahankan kejuaraannya.

“Kalau dilihat dari segi barisan pemain JDT merupakan sebuah pasukan yang mantap dari setiap sudut kerana mempunyai pemain-pemain yang berpengalaman serta berkualiti, Tetapi kekuatan Pahang juga tidak boleh disangkal kerana mereka dibimbing oleh jurulatih yang berpengalaman (Zainal Abidin Hassan),” katanya.

Sumber : Utusan Malaysia

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial