Bakal pemimpin harus patriotik

JOHOR BAHRU: Pemimpin masa depan negara, terutamanya dari kalangan pemimpin mahasiawa bukan sahaja perlu berperawakan global, tetapi juga harus menjadi seseorang yang patriotik.

Menteri Besar, Dato’ Mohamed Khaled Nordin, berkata negara memerlukan pemimpin yang bukan sahaja mampu mengemudi negara tetapi juga mempunyai tahap kecintaan yang tinggi kepada tanah air.

“Hari ini saya memilih untuk bercakap tentang gagasan Malaysia dan perlunya kita menyediakan pemimpin masa hadapan yang berperawakan global.

“Dan hari ini juga saya memilih untuk menegaskan bahawa pemimpin Malaysia yang global ini, yang kita dambakan, yang ingin kita bentuk, mestilah juga seorang nasionalis, seorang yang patriotik.

  Kita tidak memerlukan pemimpin yang berstatus global tetapi hatinya, jiwanya, kecintaannya pada tanahair, pada bangsa dan pada agama sangat tipis,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Simposium Pemimpin Muda 2015 di sini malam tadi.

Katanya, patriotisme adalah sifat yang jujur dan perlu ada pada seorang pemimpin.

“Patriotisme itu adalah sifat warga negara yang sejati dan ibu kepada segala kualiti kepimpinan. Patriotisme adalah sifat yang jujur dan perlu bagi pemimpin lelaki mahupun wanita,” katanya.

Ujar beliau lagi, adalah penting untuk pemimpin masa hadapan mengetahui dan membela bangsanya dan tiada tempat untuk mereka yang ingin menjadi pemimpin sebagai batu loncatan untuk mengumpul kekayaan.

“ Tiada tempat untuk bakal pemimpin bangsa yang tidak tahu perjalanan sejarah bangsa. Lebih malang, tidak pula ingin mengambil tahu akan halatuju masa depan bangsanya.

“Tiada tempat untuk bakal pemimpin bangsa yang materialistik, yang hanya melihat kepimpinan itu sebagai jalan kesenangan diri dan keluarga serta lubuk mengumpul kekayaan,” katanya.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial