Bandar Robotik RM15 Bilion Di Johor

SHANGHAI, 14 April –  Johor bakal memiliki Bandar Robotik pertama di Malaysia dan rantau ASEAN yang akan dibangunkan Johor Corporation (JCorp) dengan kerjasama sebuah syarikat sistem robotik dari China.

Anak syarikat kerajaan Johor itu memeterai memorandum persefahaman (MOU) dengan Beijing Huize Boyuan Robot Investment Company Limited China (Boyuan) di sini, hari ini bagi membangunkan projek dengan pelaburan dianggar bernilai RM15 bilion.

Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin, berkata MoU itu menjadi langkah penting bagi kedua-dua syarikat untuk memulakan kajian tapak bagi membangunkan kawasan industri robotik di Johor.

Katanya, projek itu mencerminkan keyakinan pelabur asing terhadap ekonomi Johor, selain persediaan negeri mendepani pelaburan dalam sektor berteknologi tinggi.

“MoU ini membolehkan syarikat itu bersama JCorp dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) mengkaji untuk mewujudkan Bandar Robotik dan mereka (Boyuan) bersetuju memilih Johor.

“Pelaburan ini bukan semata-mata membangunkan kilang menghasilkan robot tetapi juga membangunkan kawasan yang boleh menempatkan semua syarikat industri berkaitan industri robotik.

“Bandar Robotik adalah kawasan bersepadu dengan kewujudan kilang atau syarikat yang mempunyai ciri-ciri menepati industri ini,” katanya kepada sidang media selepas menghadiri perbincangan meja bulat bersama 20 pemain industri dari China di sini, hari ini.

Mohamed Khaled yang juga Pengerusi JCorp, berkata pihaknya bersama MIDA akan mengadakan perbincangan lanjut berhubung projek itu bagi membolehkan ia direalisasikan.

Terdahulu, JCorp dan Everbright International turut menandatangani MoU bagi mengkaji penghasilan tenaga baharu daripada sisa pepejal.

Mohamed Khaled berkata, bagi usaha itu, Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) akan dijadikan perintis bagi kajian itu untuk dilaksanakan di kawasan pentadbirannya. – Berita Harian

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial