Bangsa Johor Setia Kepada Sultan Ibrahim

MUAR, 2 April – Seluruh Bangsa Johor menyatakan ikrar dan taat setia tidak berbelah bahagi kepada pemerintahan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata keunggulan Bangsa Johor itu tersimpul pada keupayaan untuk tahu berterima kasih dan melafazkan taat setia.

“Tidak ada yang lebih besar dan mulia untuk kita lakukan melainkan menggembleng segala kudrat dan akal fikiran untuk mencari jalan dalam membawa kebaikan kepada negeri.

“Ia juga menjadi tanggungjawab setiap Bangsa Johor untuk bersama-sama menyumbang daya tenaga, masa serta usaha keras ke arah menjadikan Johor dan seluruh lingkungannya lebih makmur dan sejahtera,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika persembahan ucapan pada Majlis Jamuan Negeri sempena Hari Keputeraan Rasmi Sultan Ibrahim, di Dewan Jubli Intan, di sini malam ini.

Turut berangkat Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebagai wakil rasmi Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri, Tan Sri Mohamad Aziz, Barisan Ahli-Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azmi Rohani, serta para pembesar dan kenamaan negeri.

Beliau berkata, Bangsa Johor tidak boleh menjadi bangsa yang hanya mahu mengecap segala nikmat dan kebaikan yang ditawarkan oleh negeri ini.

“Kita perlu mengambil kesempatan dan ruang yang ada untuk membalas segala kebaikan dan manfaat tersebut.

“Dan dalam melakukan ikhtiar itu kita perlu hadir dan tampil bersama-sama tidak kira latar belakang dan keupayaan masing-masing untuk memberi sumbangan idea dan tenaga,” katanya.

Menurutnya lagi, seperti yang diperingatkan oleh Sultan Johor kepada semua, Bangsa Johor hendaklah tidak menghiraukan campur tangan dan tindakan sesetengah orang luar.

“Mereka bukan sahaja cuba membuat onar dan masalah, tetapi bersikap seakan tidak mahu melihat Johor berjaya.

“Justeru, marilah bersama-sama memperbaharui azam dan tekad untuk terus membina negeri ini agar ia menjadi legasi yang baik untuk kita wariskan kepada anak bangsa,” katanya.

Tambahnya lagi, perkara itu penting kerana Johor adalah bangsa yang mempunyai sejarah serta ketamadunan yang panjang dan tersendiri.

“Ia bukan sahaja mempamerkan kekuatan dan kemegahan pemerintahan yang bijaksana, tetapi ketinggian budi dan keunggulan sistem nilai yang baik yang menjadi pegangan semua.

“Malah yang lebih penting, sambutan seperti Hari Keputeraan Sultan Johor itu harus diraikan oleh seluruh rakyat Johor kerana ia membuktikan Sultan dan Rakyat, berpisah tiada,” katanya.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial