Bantu Tingkat Potensi Diri OKU

Asiah (kiri) melakukan lawatan ke tapak pameran selepas merasmikan Festival Kesenian dan Kebudayaan OKU Negeri Johor 2017 di Laman Tun Sri Lanang, baru-baru ini.

KOTA TINGGI, 30 Mac – Kerajaan sentiasa komited bagi memastikan orang kurang upaya (OKU) mendapat kesaksamaan hak dan peluang seperti mana anggota masyarakat lain dalam semua aspek kehidupan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri, Asiah Md Ariff berkata, pelbagai inisiatif dilaksanakan dalam pembangunan komuniti OKU agar golongan berkenaan boleh berdikari.

“Unit penempatan pekerjaan OKU (UPPOKU) telah menempatkan seramai 127 pekerja dalam pelbagai lapangan kerja.

“Semua mereka menerima gaji minimum, sekali gus mempertahankan kebajikan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Festival Kesenian dan Kebudayaan OKU Negeri Johor 2017 di Laman Tun Sri Lanang, baru-baru ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penawar, Hamimah Mansor, Adun Sedili, Rasman Ithnain, Pegawai Daerah Kota Tinggi, Dr Badrul Hisham Kasim dan Timbalan Pengarah JKM Johor, Rosnah Sardi.

Katanya sehingga kini, Johor mempunyai 73 buah Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) yang menempatkan 1,908 pelatih, manakala 572 pelatih di rumah melalui pembinaan empat PDK pada setiap tahun dengan peruntukan RM350,000 bagi sebuah PDK .

“Selain itu, seramai 453 orang penyelia dan petugas PDK yang melatih golongan OKU, mendidik dan membentuk anak-anak OKU di PDK, telah menerima kenaikan elaun RM200 seorang dengan peruntukan keseluruhan kerajaan negeri sebanyak RM90,600.

“Menaik taraf bengkel sampul surat OKU di Batu Pahat dengan peruntukan RM200,000 yang dijangka siap nanti akan membuka peluang pekerjaan kepada 50 OKU untuk bekerja dan meningkatkan pendapatan mereka,” katanya.

Menurutnya, sebanyak RM300,000 diperuntukkan untuk membina taska dan tadika OKU di YPJ Youth Center, Bukit Senyum

“Johor, selaku kerajaan negeri pertama menubuhkan taska dan tadika OKU khusus untuk OKU pekak dan bisu bagi memastikan kanak-kanak OKU pekak dan bisu menerima pendidikan awal kanak-kanak lebih berkualiti,” katanya.

Tambah Asiah, selain bantuan dari kerajaan negeri, kerajaan persekutuan melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menerusi JKM menyediakan kemudahan bantuan kebajikan dan perkhidmatan sokongan bagi membantu OKU maksimumkan potensi diri mereka.

Melalui bajet 2016, beliau berkata, kerajaan telah menaikkan kadar elaun pekerja cacat (EPC) dan menaikkan kadar bantuan OKU tidak berupaya bekerja (BTB).

“Pelaksanaan Home Help Service yang memfokuskan kepada golongan OKU dan warga emas, sekali gus menambah baik kebajikan golongan OKU.

“Kerajaan sentiasa menggalakkan individu atau badan yang boleh membantu dan menyumbang sesuatu yang berharga kepada golongan istimewa ini demi menyerlahkan lagi potensi diri mereka yang sedia ada, seterusnya mereka mampu mencapai integrasi sosial serta berkebolehan berdikari untuk masa depan mereka,” katanya. – Sinar Harian

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial