Barisan Pentadbiran Tertinggi Negeri Lafaz Ikrar Bebas Rasuah

ISKANDAR PUTERI, 20 April – Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin hari ini melafazkan Ikrar Bebas Rasuah dalam satu majlis bersama barisan pimpinan dan pegawai tertinggi negeri di Kota Iskandar.

Ikrar berkenaan turut dilafazkan barisan Exco, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azmi Rohani; Penasihat Undang-Undang Negeri, Datuk Ishak Sahari dan Pegawai Kewangan Negeri, Mohd Nasir Abd Salam.

Majlis itu disaksikan oleh Ketua Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Dzulkifli Ahmad dan Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias.

Ikrar itu adalah inisiatif baharu SPRM bagi menggantikan Ikrar Integriti Korporat (CIP).

Ia memberi penekanan kepada ikrar dan janji yang dibuat oleh para kepimpinan organisasi dan warganya secara sukarela atas kapasiti sebagai individu untuk memastikan setiap yang menandatangani ikrar tersebut akan lebih bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas.

Pada sidang media setelah selesai majlis itu, Dzulkifli berkata Johor merupakan negeri kelapan yang menandatangani ikrar itu sejak diperkenalkan oleh SPRM pada tahun ini.

“Ini merupakan usaha SPRM untuk memastikan pentadbiran di semua negeri memberikan komitmen yang tegas, telus dalam memastikan pentadbiran mereka bebas daripada sebarang unsur-unsur rasuah dan salah guna kuasa,” katanya.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial