Bas Muafakat Johor Diperluaskan

KOTA ISKANDAR, 17 Nov – Satu-satunya perkhidmatan bas percuma untuk rakyat tempatan, Bas Muafakat Johor, akan diperluaskan melalui peruntukan belanjawan sebanyak RM14.5 juta.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ia merupakan antara strategi khusus yang akan dilaksanakan menerusi Bajet Johor 2017 dalam usaha mengurangkan kos sara hidup rakyat.

Peruntukan bagi perkhidmatan yang seumpamanya dalam negara itu bertambah sebanyak RM3.5 juta, berbanding RM11 juta yang diperuntukkan dalam tahun ini, melibatkan pertambahan jarak perkhidmatan bas tersebut.

“Jarak perkhidmatan diperluaskan daripada 813.6 kilometer sekarang, kepada 1,357 kilometer mulai tahun hadapan,” katanya ketika pembentangan Bajet Johor 2017, pada Sidang Dewan Negeri Johor di sini, hari ini.

Menurut beliau, inisiatif itu diambil berikutan perkhidmatan tersebut mendapat sambutan yang memberangsangkan di dalam kalangan masyarakat.

Sejak diperkenalkan April lalu, seramai 1.34 juta pengguna telah menggunakan perkhidmatan itu, katanya.

Kerajaan negeri juga turut mendengar rintihan golongan nelayan apabila mengumumkan peruntukan sebanyak RM3.6 juta kepada nelayan yang layak.

“Ia bagi meneruskan bantuan kewangan sebanyak RM2 ribu kepada 1,800 orang nelayan berdaftar dan layak,” katanya.

Menteri Besar turut mengumumkan pelaksanaan Program Air Percuma menerusi Syarikat Air Johor (SAJ) sebagai sebahagian daripada strategi mengurangkan kos sara hidup rakyat di Johor, melalui peruntukan berjumlah RM 3 juta.

Beliau berkata program tersebut akan diperluaskan kepada golongan sasar di seluruh negeri itu, termasuk penerima bantuan e-Kasih dan Jabatan Kemajuan Orang Asli, melibatkan 5,000 orang penerima.

Pendekatan menangani kos sara hidup rakyat lain termasuk penubuhan tambahan Koperasi imCoop melalui peruntukan RM2 juta dalam bentuk geran padanan dan Program Pertanian Rakyat untuk 50 badan bukan kerajaan (NGO).

Turut dilaksanakan, Program Pertanian Dalam Komuniti melibatkan 37 buah sekolah dan tiga universiti serta 37 taman perumahan dengan peruntukan sebanyak RM400 ribu.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial