Bateri Tepati Pasaran Pelancong

image

 

JOHOR BAHRU, 24 Julai – Kerajaan negeri mengiktiraf kewujudan Bateri di Jalan Tampoi, di sini, sebagai salah satu model ‘tourist market’ menarik di Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Perdagangan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong berkata, konsep Bateri menepati pasaran pelancong.

“Kita mengalu-alukan dan menyambut baik usaha Bateri yang seiring dengan Kluster Pembangunan Pelancongan Daerah Johor Bahru iaitu ‘Urban Heritage & Lifestyle’ yang digariskan dalam Pelan Induk Pelancongan Negeri Johor (2014-2023).

“Bateri yang berkonsepkan bazar alaf baru, pada masa yang sama mempamerkan konsep ‘vintage’ juga menepati pasaran pelancong khususnya sektor pelancongan domestik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan Walkabout di Bateri, di sini, baru-baru ini.

Hadir sama, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), A Rahim Nin; Pengarah Tourism Johor, Asman Shah Abd Rahman; Pengurus Bateri, Saharudin Mohd Razali dan Pengarah Bateri, Samhan Omar.

Siew kiong berkata, Bateri kini wujud sebagai suatu tarikan pelancongan baharu yang popular kerana mendapat sambutan menggalakkan daripada pelancong dan warga tempatan dalam tempoh operasi yang begitu singkat.

Katanya, produk Bateri juga menunjukkan hasil kreatif dan inovatif pengusaha dalam mentransformasikan bekas kilang bateri terbiar menajdi ‘retail centre’ yang mengetengahkan ole-ole dan jenama produk-produk tempatan bercirikan identiti Johor.

“Mall yang menempatkan kira-kira 200 lot premis perniagaan ini merupakan mall pertama di Malaysia yang asalnya adalah sebuah kilang yang hampir tiga tahun tidak beroperasi.

“Saya difahamkan oleh pengusahanya bahawa Bateri telah menerima lebih kurang sejuta pengunjung dalam tempoh setahun ini sejak pembukaannya,” katanya.

Beliau berkata, Johor di bawah kepimpinan Menteri Besar, Dato’ Mohamed Khaled Nordin sememangnya menitikberatkan pelancongan sebagai sektor ekonomi utama negeri.

“Sektor pelancongan merupakan suatu sektor yang amat berpotensi untuk diperkembangkan dan mampu menjana pendapatan yang lumayan.

“Saya menyeru kepada golongan belia khasnya agar aktif untuk menceburi bidang pelancongan dan industri ini untuk merangsang pertumbuhan ekonomi Johor,” katanya.

Selain itu, beliau turut menyeru agar pihak pengusaha Bateri dapat bekerjasama dengan ejen pelancongan menarik lebih ramai pelancong ke destinasi berkenaan.

“Saya lihat ada peluang untuk Bateri berkembang lebih jauh melalui kerjasama ini dengan aktiviti pelancongan seperti persembahan budaya yang beridentitikan Johor,” katanya.

Siew Kiong juga menaruh harapan agar lebih ramai pengusaha belia melahirkan lebih banyak idea yang kreatif serta inovatif untuk mewujudkan destinasi pelancongan baharu di Johor.

“Ini akan merancakkan lagi ekonomi negeri Johor melalui peluang perniagaan yang baru dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.

“Ia adalah platform peluang perniagaan untuk produk tempatan yang beridentitikan Johor untuk memajukan jenama mereka yang dipelopori dari golongan usahawan anak-anak muda,” katanya. – Sinar Harian

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial