Bayar Kos Pembersihan Pencemaran Alam Sekitar

PENGERUSI Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri, Datuk Ayub Rahmat (dua dari kanan) beramah mesra dengan sukarelawan belia dan penduduk kampung yang menyertai Program Gotong Royong pembersihan Sungai Tebrau, di Kampung Bakar Batu, Johor Bahru. – Foto Zain Ahmed

JOHOR BAHRU: Johor menjadi negeri pertama melaksanakan caj berbentuk bil kepada pemilik kediaman, premis kedai dan industri yang mengeluarkan sisa buangan hingga mencemarkan alam sekitar terutama sungai dan udara, dalam usaha menampung kos pemuliharaan serta pembersihan alam sekitar.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri, Datuk Ayub Rahmat, berkata cadangan caj berkenaan terkandung dalam inisiatif penubuhan Perbadanan Alam Sekitar di bawah Dasar Kelestarian Negeri Johor yang akan dilancarkan pada Ogos ini.

Katanya, pelancaran Dasar Kelestarian Negeri Johor itu dijangka disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sempena Ekspo Pembangunan Johor.

“Penubuhan perbadanan itu diletakkan sebagai antara teras utama dasar berkenaan bagi mengenakan caj kepada masyarakat untuk turut sama menjaga kelestarian alam sekitar.
“Kita kaji kemungkinan menubuhkan Perbadanan Alam Sekitar kerana ketika ini, orang buang sampah tidak dikenakan bil, kilang buang asap patut dikenakan caj, yang buang efluen ammonian tinggi tidak dikenakan caj.
“Justeru, kita kaji untuk mengenakan caj kerana yang akan menanggung kos adalah kerajaan dan masyarakat.

Siapa yang nak tanggung kos daripada segi sampah? Sepatutnya yang buang sampah kena bayar dan apa yang dibuang itu boleh dikenakan caj,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Komuniti Sungai (COIR) di Sungai Tebrau, dekat Kampung Bakar Batu, di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Johor, Che Mohd Dahan Che Jusof.

Ayub berkata, caj itu akan dimasukkan ke tabung perbadanan bagi menampung kos kerja penyelenggaraan dan pembersihan akibat daripada masalah pencemaran.

“Kita cakap pada masa depan, mewariskan alam kepada generasi akan datang.

Kalau kita tidak bertindak sekarang bermakna hanya sebelah pihak berusaha menjaga alam sekitar sedangkan sepatutnya ia menjadi tanggungjawab bersama,” katanya. – BERITA HARIAN.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial