Bekalan Minyak 
Masak Mencukupi

JOHOR BAHRU 7 Nov – Pembelian panik oleh pengguna dan tindakan segelintir peniaga menyembunyikan bekalan menjadi punca bekalan minyak masak berkurangan dan kehabisan di pasaran.

Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Johor, Nor Nekman Jaimon berkata, bekalan minyak masak untuk negeri ini sebenarnya adalah mencukupi tetapi berkurangan kerana pembelian panik.

“Di Johor terdapat tujuh kilang minyak masak dan 41 syarikat pembungkusan minyak masak berdaftar dan pemantauan pihak kami setakat ini mendapati bekalan adalah mencukupi.

“Namun, pembelian secara panik menyebabkan minyak masak pek 1 kilogram yang disubsidikan kerajaan berkurangan selain stok dihantar berdasarkan pusingan jadual pengangkutan yang ditetapkan dan bukannya pada setiap hari,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan pemeriksaan dan pemantauan di pasar raya dan kilang pembungkusan minyak masak di sekitar Skudai, dekat sini, kelmarin.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak membuat pembelian panik selain mengingatkan pihak berkaitan agar tidak melanggar undang-undang dan peraturan di bawah akta seliaan kementerian berkenaan.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, menerusi pemantauan tersebut, pihaknya mencatatkan sebanyak lima kes dan menerima sebanyak 27 aduan berikutan rasionalisasi harga minyak masak.

Nor Nekman berkata, lima kes yang dicatatkan itu melibatkan satu kes menyorok barang kawalan manakala masing-masing dua kes kerana menjual melebihi harga ditetapkan dan berniaga barang kawalan tanpa lesen.

Katanya, daripada 27 aduan yang diterima daripada orang awam, 11 daripadanya adalah dari daerah ini, masing-masing lima dari Segamat dan Kluang; empat dari Kluang dan satu di Muar.

“Kesemua lima kes dan 27 aduan itu adalah hasil maklumat serta operasi dan pemantauan yang dilakukan di 1,995 premis di negeri ini oleh anggota penguatkuasa kami pada setiap hari bermula 27 Oktober lalu sehingga semalam.

“Bagi kes menyorok barang kawalan ia disiasat di bawah Seksyen 12 Akta Kawalan Bekalan 1961, menjual melebihi harga ditetapkan di bawah Peraturan 12(A) Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974 manakala berniaga tanpa lesen di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974,” katanya. – Utusan Online

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial