Belalah Guru “Duka Lara”

ISKANDAR PUTERI, 16 Mei – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hari ini menyarankan supaya Kementerian Pendidikan terus membela dan mengambil kepedulian terhadap nasib guru yang ‘berduka lara’.

Beliau berkata setakat ini terdapat 22,000 orang guru ‘duka lara’ yang telah memohon untuk berpindah tempat mengajar, dan 9,000 daripada jumlah itu sudah disatukan semula dengan keluarga mereka.

“Guru-guru ini tidak akan dapat mencapai produktiviti dan KPI jika emosi dan minda mereka terpisah daripada keluarga.

“Justeru, kementerian perlu mengambil kepedulian terhadap keluh kesah dan keperluan guru-guru yang terpaksa berjauhan dengan keluarga kerana ia bukan sahaja menjejaskan emosi malah produktiviti mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ke-46 Tahun 2017 di Kompleks Sukan Educity, di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Joho, Dato’ Mohamed Khaled Nordin; Menteri Pendidikan Malaysia, Datuk Seri Mahadzir Khalid, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azmi Rohani serta para warga pendidik dari seluruh negara.

Beliau menambah, selain masalah guru ‘duka lara’, kebajikan dan perihal guru-guru berumur 40 tahun ke bawah juga harus diambil peduli dan difahami.

Malah, beliau turut menyokong permintaan Kementerian Pendidikan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) agar mempercepatkan kelulusan menaikkan gred jawatan sebahagian Pengarah Pendidikan Negeri daripada Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) C ke JUSA B.

Sementara itu, Mohamed Khaled turut menzahirkan komitmen, sokongan serta langkah-langkah intervensi Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pendidikan Negeri ke arah membantu menterjemahkan pendidikan berkualiti.

“Di pihak Kerajaan Negeri Johor, kita amat jelas dan faham satu perkara iaitu kita tidak hanya boleh pandai meminta dan menuntut pendidikan yang berkualiti.

“Oleh itu, Kerajaan Negeri Johor nekad untuk membantu Kerajaan Persekutuan dan semua pihak dalam menjayakan aspirasi pendidikan berkualiti,” katanya.

Menurutnya, pelbagai inisiatif dan langkah intervensi yang telah dan sedang diambil di peringkat negeri.

“Pertama, dalam membudayakan minat sains, matematik dan teknologi (STEM),  sebanyak RM600 ribu diperuntukkan dengan merangka pelbagai program yang berkaitan.

“Kedua, melalui Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) sebanyak RM500 ribu diperuntukkan bagi pelbagai program memperkasakan bahasa Inggeris selari dengan bahasa kebangsaaan dan merupakan siri kedua pelaksanaanya sejak tahun 2016.

“Dan ketiga, adalah meneruskan inisiatif pembangunan ekosistem pendidikan abad ke-21 dalam sekolah-sekolah dalam Negeri Johor dengan peruntukan sebanyak RM800 ribu,” katanya.

Tambah beliau lagi, Johor merupakan negeri pertama yang mengguna pakai Sistem Pendidikan Abad 21 dalam usaha meningkat prestasi pencapaian pelajar.

Pada majlis berkenaan, bekas pengetua Sekolah Menengah Agama Persekutuan Labu, Seremban di Negri Sembilan Khuzaimah Sulaiman dinobatkan sebagai penerima anugerah Tokoh Guru Kebangsaan 2017.

Manakala Zainuddin Zakaria dari Kuala Lumpur telah dipilih menerima Anugerah Ikon Guru Inovatif Kebangsaan 2017.

Bekas Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Sufa’at Tumin pula menerima anugerah Tokoh Kepimpinan Pendidikan 2017.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial