Belia Kuasai Bidang Kemahiran

belia kuasai kemahiran

 

BELIA di Johor disifatkan beruntung kerana Kerajaan Negeri amat menitikberatkan aspek bagaimana golongan itu mampu memainkan peranan dan memberi sumbangan kepada usaha memajukan negeri pada masa hadapan.

Pelbagai usaha sudah dilakukan bagi meningkatkan kemahiran supaya mereka mampu menempatkan diri seterusnya menikmati manfaat dan faedah secara langsung kemajuan yang sedang pesat berlaku di Johor ketika ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan dan Sumber Manusia, R Vidyananthan, berkata,  majikan sekarang menitikberatkan aspek pengalaman serta kemahiran yang memberi impak kepada syarikat sebagai satu nilai tambah dalam proses pemilihan pekerja.

Kemahiran kini, kata beliau, dilihat sebagai aspek yang perlu diberi perhatian sewajarnya selaras dengan wawasan negara  untuk melahirkan modal insan berkualiti.

“Justeru, belia perlu memperluaskan ilmu dalam pelbagai bidang kemahiran seterusnya menjadi tenaga kerja mahir bagi membantu memantapkan proses pembangunan negara,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan sangat komited bagi membuka peluang khusus untuk belia dalam menjadikan kemahiran sebagai pilihan kerjaya.

Katanya, pelbagai usaha dilakukan bagi memastikan belia di negeri ini mendapatkan peluang sewajarnya untuk meningkatkan kemahiran selepas tamat alam persekolahan yang disediakan oleh Pusat Giat Mara, Jabatan Tenaga Manusia dan juga pusat latihan bertauliah di bawah seliaan Jabatan Pembangunan  Kemahiran.

Menurut statistik dari Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) Negeri Johor, seramai 40,600 pelajar berjaya mendapat Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 1 dan 36,986 lagi mendapat Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 2 sepanjang 2013.

“Pada masa sama, seramai 13,037 pelajar mendapat Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 3. Selain itu, seramai 1,822 pelajar menerima Diploma Kemahiran Malaysia manakala pemegang Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia  pula seramai 124 orang,” katanya.

Vidyananthan berkata, Kerajaan Negeri juga telah menganjurkan program Karnival Kerjaya Johor Mahir 2014 anjuran Unit Perancangan Ekonomi Negeri Johor (UPENJ) dan Kerajaan Pusat, melalui Pusat JobsMalaysia Iskandar Malaysia dan Jabatan Pembangunan Kemahiran yang dijadualkan pada 19 dan 20 April 2014 bertempat di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang.  

“Program dengan usahasama bersama Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) ini dijangka mengumpulkan 20 penyedia latihan dan 30 majikan berdasarkan sektor industri utama seperti bidang pembuatan, hospitaliti dan pelancongan, logistik, seni kreatif serta industri minyak dan gas (O&G). Dijangka 5,000 pengunjung akan mendapat manfaat daripada karnival ini,” katanya.

Selain itu, Vidyananthan berkata, belia berkemahiran yang ingin memulakan perniagaan juga layak dipertimbangkan untuk mendapat pembiayaan dari agensi seperti Tekun Tasional dan Tabung Ekonomi.

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial